LAUNGAN Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) sudah sekian lama dikumandangkan pemimpin PAS dan kultus mereka.
RUU 355 merujuk kepada cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) (Akta 355) yang diusulkan Abdul Hadi Awang di Persidangan Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 dengan alasan bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Tiga puluh empat tahun lalu merupakan kali terakhir akta ini berjaya dipinda.
Tiga puluh tiga bulan PAS menghuni Putrajaya sebagai kerajaan pula menyaksikan akta ini gagal dipinda.
Kegagalan PAS melunaskan cadangan ini tidak sama sekali mengalang mereka untuk menjadikannya sebagai modal politik.
Yang gagal itu PAS. Yang disalahkan pula DAP dan sekutu.
Kata mereka, tindakan menentang pindaan RUU 355 adalah didasari Islamofobia dan kebencian paling dalam terhadap institusi Islam.
Walhal sewaktu menguasai kerajaan, cadangan pindaan ini sekadar kekal di atas kertas dan di hujung bibir penyokong mereka.
Sekurang-kurangnya, kerajaan perpaduan cuba membawa perkara ini ke Kabinet untuk keputusan dasar seperti yang dimaklumkan menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sewaktu sesi penggulungan jawapan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat Mac lalu.
Kemudian kita tiba sekali lagi ke musim pilihan raya.
Bagi perayaan demokrasi 6 negeri kali ini, tuntutan RUU semakin mendiam. Isu unsur nadir bumi (REE) pula yang semakin dibunyikan.
Siri pendedahan Saifuddin Nasution berkenaan skandal eksplorasi REE di Kedah yang melibatkan Muhammad Sanusi Md Nor mula memenuhi dada akhbar dan skrin telefon pintar.
Buat pertama kali sejak sekian lama, tuntutan RUU 355 bermusim yang selalu berkunjung di saat kita menghampiri tempoh pilihan raya kini tidak kedengaran.
Saifuddin memulakan strategi pendedahan dengan mendakwa Sanusi dikompaun sebanyak RM500 ribu oleh Pejabat Tanah dan Galian Kedah atas kesalahan perlombongan REE tanpa permit di kawasan Kampung Chong, Mukim Sik.
Penafian Sanusi pula maha lemah. Katanya, kompaun itu dialamatkan kepada MBI dan bukan ke atas dirinya.
Kalau sudah MBI Kedah itu nama aslinya Perbadanan Menteri Besar Kedah dan pengerusinya pula Sanusi, mahu tidak mahu namanya terpalit sama.
Selang sehari kemudian, Saifuddin mencabar pula Sanusi untuk menamakan seorang warga China yang masuk ke Malaysia dengan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) dan berjawatan profesional di MBI Kedah yang ditahan di Hutan Simpan Bukit Enggang.
Kali ini, Sanusi berdiam diri tanpa jawapan. Buat julung kalinya dalam sejarah, Sanusi sedar berdiam lebih baik daripada bersuara.
Dalam satu surat bertarikh 3 Ogos 2020 kepada menteri dalam negeri yang tular, Sanusi didakwa memohon kepada Hamzah Zainuddin untuk meluluskan PLIK kepada beberapa orang warga China untuk pemasangan infrastruktur galian mineral di Kedah.
Soalnya, adakah individu warga China yang ditahan Januari lalu menerima PLIK daripada Sanusi? Jawapan itu hanya ada pada empunya badan.
Pada Rabu, ketua pegawai eksekutif MBI Kedah dan seorang pengarah syarikat ditahan berhubung kes rasuah bernilai RM13 juta bagi menyembunyikan kegiatan perlombongan haram REE di Kedah.
Sama ada Sanusi terlibat atau tidak, itu keputusan mahkamah. Seperkara yang pasti, Sanusi tetap perlu bertanggungjawab.
Kesemua masalah ini berlaku sewaktu Sanusi memanaskan punggung di kerusi empuk pengerusi MBI Kedah.
Ada kemungkinan yang Sanusi terlelap dan terlepas pandang. Beliau tidak terlibat.
Ramai juga yang mendakwa Sanusi sengaja menutup mata dan memilih untuk mengalihkan pandangan.
Spekulasi tidak akan menyelesaikan isu ini. Biarkan pihak berkuasa melunaskan siasatan mereka.
Namun, ini soal akauntabiliti. Sama ada Sanusi terlibat atau tidak, perkara ini tetap berlangsung sewaktu pentadbirannya.
Sanusi perlu bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan.
Bagi jelata marhaen yang sekadar menghabiskan masa mengikuti perkembangan politik di media sosial, pilihan raya kali ini terasa sedikit asing tanpa desakan
bermusim RUU 355. – 21 Julai, 2023.
* Johan Mat adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen