TIMBALAN Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dinamakan sebagai calon bagi kerusi Kajang pada pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Ahli pengasas PSM Mohd Nasir Hashim mengumumkan pencalonan Arutchelvan awal hari ini.
Susulan pengumuman itu, Pengerusi PSM Dr Michael Jeyakumar menyerahkan watikah pelantikan kepada Arutchelvan.
Jeyakumar berkata berdasarkan kaji selidik, Pakatan Harapan (PH) akan kekal mentadbir Selangor.
Bagaimanapun, beliau berkata PSM mahu bertanding untuk menjadi kuasa ketiga pada PRN 12 Ogos ini.
“Kami memutuskan untuk bertanding supaya kami dapat membawa isu rakyat ke dewan undangan negeri (DUN).
“Kami mahu jadi kuasa ketiga, suara yang boleh membawa isu alam sekitar dan isu rakyat ke sidang DUN.
Kerusi DUN Kajang dipegang PKR sejak 2008.
Kerusi itu sebelum ini dimenangi Hee Loy Sian daripada PKR dengan 30,755 undi majority dalam perlawanan empat penjuru.
Sementara itu, Arutchelvan berkata beliau mahu memastikan Kajang menjadi kawasan lebih hijau.
“Kajang adalah bandar yang sudah dibangunkan dengan baik, jadi kita tidak perlukan projek pembangunan lagi. Apa yang diperlukan ialah menjadikan kawasan ini lebih hijau,” katanya.
PSM turut mengumumkan setiausaha agungnya, A Sivarajan akan bertanding di kerusi Kota damansara, sementara aktivis hak pekerja Sivaranjani Manickam calon kerusi Meru.
PSM akan bekerjasama dengan Muda untuk PRN ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRN untuk Selangor, Penang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan hari mengundi ditetapkan 12 Ogos.
Hari penamaan calon ialah 29 Julai sementara mengundi awal 8 Ogos.
Sebanyak 245 kerusi akan dipertandingkan – 32 di Terengganu, 36 masing-masing di Kedah dan Negeri Sembilan, Pulau Pinang (40), Kelantan (45) dan Selangor (56). – 20 Julai, 2023.
Komen