PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan dokumen penting sebagai bukti beliau yang sebenarnya menandatangani skim pelupusan hutang untuk peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Anwar mengeluarkan sebahagian daripada dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) berkaitan jaminan kerajaan kepada Felda, yang dibuat pada 26 Jun 2023.
Perjanjian itu ditandatangani Anwar, yang juga menteri kewangan.
Anwar menjawab dakwaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bagi permohonan maaf bertulis secara terbuka dan tanpa syarat berhubung dakwaannya yang hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak dihapuskan di bawah pentadbiran pengerusi Perikatan Nasional itu.
Muhyiddin juga mahu Anwar memberikan dokumentasi yang ditandatangani yang Anwar menandatangani pelupusan hutang itu.
Selepas mengeluarkan beberapa dokumen, Anwar pula menuntut Muhyiddin memohon maaf kepadanya atas fitnah tersebut.
Anwar turut memberikan dokumen arahan pembayaran yang menunjukkan bayaran RM990 juta dibayar hari ini (20 Julai).
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kewangan turut mengesahkan perjanjian FSRA ditandatangani oleh Anwar pada 26 Jun lalu.
“Seperti diumumkan melalui siaran akhbar MOF bertarikh 28 Jun 2023, perjanjian ini melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.
“Di bawah perjanjian, kerajaan akan membiayai pembayaran balik sukuk tersebut melalui peruntukan geran RM990 juta setiap tahun untuk tempoh 10 tahun.,” kata kementerian itu.
Justeru, kementerian mengesahkan pengeluaran pertama RM990 juta itu dilaksanakan pada 18 Julai selaras dengan peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan Madani 2023.
Penyempurnaan perjanjian jaminan kerajaan dan penyaluran peruntukan kepada Felda merupakan elemen penting yang dilaksanakan oleh kerajaan perpaduan.
“Ini bagi memastikan kelangsungan Felda, antara lain mengambil kira kesan terhadap aliran tunai dan kedudukan kewangan Felda berikutan penghapusan hutang peneroka Felda,” katanya. – 20 Julai, 2023.
Komen