Penganjur ratu pondan sudah dipanggil tapi masih belum datang, kata exco Melaka


Rahmad (dua, kiri) ketika hadir pada majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2023 di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini. – Gambar Facebook, 19 Julai, 2023.

MELAKA sama sekali tidak akan membenarkan penganjuran acara peragaan ‘ratu pondan’ yang dikatakan sedang dirancang untuk diadakan hujung bulan ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Rahmad Mariman berkata pihaknya sudah memanggil penganjur program itu untuk bersemuka, namun tidak mendapat kerjasama yang baik.

“Kita ulangi pendirian, sama sekali tidak akan benarkan acara sebegini dianjurkan kerana ia bukan saja mencalarkan imej umat Islam, mencemar kesucian bulan pertama tahun Hijrah ini malah (mencemar imej) masyarakat lain yang berada di negeri ini. 

“Kita sudah panggil penganjur namun setakat semalam, dia masih tidak datang. Jika datang pun memang kita tak benarkan (penganjuran). Insya-Allah kita konsisten dengan pendirian tidak membenarkannya,” katanya selepas hadir ke majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Tokoh Maal Hijrah 2023 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Mohd Rustam di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.

Beliau berkata sekiranya penganjuran acara itu diteruskan juga pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas ke atas penganjur dan mereka yang terlibat.

Terdahulu media melaporkan satu acara peragaan ‘ratu pondan’ dirancang untuk diadakan di sebuah hotel terkemuka hujung bulan ini dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Christopher Patit mengesahkan menerima laporan berkaitan program itu yang kemudiannya telah dirujuk ke Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). – Bernama, 19 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen