Dr Mahathir suruh Umno, Bersatu bubar, bentuk parti baharu, kata Noh Omar


Ravin Palanisamy

Bekas pengerusi Umno Selangor Noh Omar berkata perkara itu disebut sendiri Dr Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan di kediaman bekas perdana menteri itu pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Julai 2023.

DR Mahahthir Mohahamad tidak pernah merancang untuk mengharamkan Umno seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Noh Omar.

Sebaliknya, Dr Mahathir mencadangkan supaya Umno dan Bersatu dibubarkan dan bergabung sebagai parti baharu, jelas bekas pengerusi Umno Selangor itu pada ceramah mega Perikatan Nasional (PN) di Kapar, Selangor malam tadi.

Beliau berkata perkara itu disebut sendiri Dr Mahathir dalam satu pertemuan di kediaman bekas perdana menteri itu pada 2020, ketika Dr Mahathir masih perdana menteri.

“Saya pernah berjumpa Dr Mahathir, masa itu dia masih perdana menteri. Jumpa di rumahnya di Seri Kembangan. Saya dengan empat orang pimpinan Umno. Salah seorang daripada mereka hari ini jadi menteri, masih ada dalam Umno, dan saya tak mahu sebut nama.

“Masa itu saya tanya Dr Mahathir hati ke hati mengapa sokong PH dan sebagainya. Akhirnya saya ingat lagi dia kata DAP kalau masih ada dalam kerajaan kita sukar untuk buat sesuatu. Jadi saya tanya apa perancangan Dr Mahathir?

“Dr Mahathir kata Melayu kena bersatu balik. Caranya ialah Umno dan Bersatu kena bersama balik.

“Sebab itu dia cadang, bukan suruh haram Umno, (tapi) dibubarkan. Bubar Umno dan bubar Bersatu, tubuh parti baharu,” kata Noh yang dipecat daripada Umno pada Januari lalu..

Tambah bekas ahli Parlimen Tanjong Karang yang kini bersama Perikatan Nasional itu, malah di media sosial juga Dr Mahathir menyebut beliau mahu Umno dibubarkan, bukan diharamkan.

“Takkanlah Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tak tahu beza diharamkan dengan dibubarkan?”

Ketika berucap pada ceramah Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah minggu lepas, Anwar mendedahkan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin merancang mengharamkan Umno ketika PH berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

Anwar yang juga pengerusi PH berkata beliau ada membincangkan perkara itu bersama ketua-ketua parti komponen gabungan itu, dan mereka juga tidak bersetuju dengan rancangan tersebut.

Pada ceramah itu beliau meminta ahli dan penyokong Umno menimbang apakah mereka sanggup memberi undi kepada calon Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

“Saya nak beritahu orang-orang Umno yang goyang sekarang ini. Sanggupkah kamu beri dukungan kepada parti sebaik dia (Muhyiddin) berkuasa akan mengharamkan parti keramat kamu?” – 19 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen