PSM tawar sesuatu yang berbeza kepada pengundi, kata Arutchelvam


Alfian Z.M. Tahir

PSM akan memperjuangkan isu perumahan mampu milik, gaji minimum dan alam sekitar pada PRN akan datang, kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 19 Julai, 2023.

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) menawarkan satu alternatif untuk memilih kepada pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang walaupun ia dianggap parti underdogs dalam perlawanan ini.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvam berkata parti itu sedar ia mungkin berdepan kekalahan teruk di tangan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, katanya parti itu akan terus kekal memegang prinsipnya dan hanya menyentuh isu berorientasikan rakyat seperti perumahan mampu milik, gaji minimum dan isu alam sekitar.

“Semua calon kami akan mengisytiharkan aset mereka dan menandantangani akujanji anti perkauman. Pada PRN ini, kami menawarkan naratif baharu yang anti perkauman dan berpaksikan isu rakyat.

“Isu kami akan berkisar tentang gaji minimum, perumahan mampu milik dan perlindungan alam sekitar. Setiap kali kami kalah dalam pilihan raya, kami tidak hilang penghormatan rakyat dan penerimaan yang diterima daripada masyarakat awam sangat baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

PSM setakat ini menamakan setiausaha agungnya Sivarajan Arumugam sebagai calon untuk kerusi Kota Damansara, profesor matematik Dr Darren Ong Chung Lee calon di Dengkil dan Sivaranjani Manickam bagi kerusi Meru.

Arutchelvam berkata parti akan turut mengumumkan lebih banyak nama dalam beberapa hari lagi, dan memberi bayangan beliau juga mungkin turut bertanding.

Aktivis veteran itu bagaimanapun tidak mendedahkan kerusi mana yang akan ditandinginya.

Arutchelvam ketika ditanya adakan calon PSM akan dapat mengekalkan deposit pilihan raya, beliau hanya tenang menjawab soalan.

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvam berkata parti itu sedar ia mungkin berdepan kekalahan teruk di tangan PH, BN dan PN pada PRN bulan depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 19 Julai, 2023.

Katanya, itu bukan isu untuk parti, memetik calon hebat seperti Dr Mahathir Mohamad juga hilang wang deposit di kubu kuatnya sendiri di Langkawi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Malah, pada PRU lalu calon PH juga hilang wang deposit di pantai timur. Kami tidak terlalu risau tentang perkara itu. PSM dikenali dengan turun padangnya. Ramai fikir yang kami ini NGO kerana kami turun padang dan selesaikan masalah.

“Media suka kami kerana kami tawarkan sesuatu yang berbeza, kenyataan media kami disiarkan di banyak outlet media, jadi kami tidak akan rasa kurang motivasi hanya kerana kami mungkin hilang deposit,” katanya.

PSM sebelum ini menang kerusi Parlimen Sungai Siput pada 2008 apabila Dr Michael Jeyakumar Devaraj menewaskan presiden MIC pada masa itu, S Samy Vellu yang memegang kerusi itu selama lapan penggal sejak 1974.

Beliau kekal di kerusi itu selepas menang sekali lagi pada 2013 tetapi tewas kepada calon PKR, Kesavan Subramaniam pada 2018.

Bekas pengerusi Dr Nasir Hashim juga bekas Adun Kota Damansara.

Menawan sokongan Melayu

Ketika ditanya bagaimana pendekatan PSM terhadap pengundi Melayu pada PRN kali ini, Arutchelvam berkata parti itu sudah membina asas di setiap kerusi yang akan ditandingi.

“Jika kami tidak ada akar umbi yang kuat atau tidak melakukan sebarang kerja di sesuatu kawasan, kami tidak akan bertanding di situ.

“Contohnya Meru, kami sudah lama menangani beberapa isu di situ dan ada pejabat di Meru.

“Calon yang dipilih sudah bekerja di kawasan itu sejak dua tahun lalu. Melihat kepada isu dimainkan PN dan PH, ia hampir sama.

“Kami banyak menggerakan isu hak pekerja dan tenaga kerja kaum Melayu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, banyak lagi kerja di peringkat akar umbi terutama di kawasan Melayu, perlu dilakukan terutama di pantai timur.

Menyentuh tentang usaha anti rasuah kerajaan, Arutchelvam berkata terlalu banyak retorik dalam pelaksanaannya.

“Rakyat tidak mengundi Umno kerana Umno rasuah. Veteran DAP Lim Kit Siang kata ia adalah gelombang hijau (merujuk kepada sokongan terhadap PN), tetapi realitinya tidak.

“Ia adalah rakyat menentang rasuah, orang Melayu tidak mahu parti rasuah,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim banyak bercakap tentang pentadbiran yang bersih sejak menjadi perdana menteri selepas PRU15.

Bagaimanapun, Anwar menerima Umno sebagai rakan kerjasama di bawah kerajaan perpaduan walaupun beberapa pemimpin Umno termasuk presidennnya, Ahmad Zahid Hamidi berdepan puluhan pertuduhan rasuah. – 19 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen