PSM nasihatkan ahli politik waspada ketika berkata-kata


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvam berkata ahli politik perlu lebih berhati-hati agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sensitif. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 19 Julai, 2023.

INSIDEN melibatkan bekas Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi yang baru-baru ini mengeluarkan ucapan berbaur perkauman terhadap Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepatutnya dijadikan pengajaran kepada ahli politik, kata timbalan pengerusi parti S Arutchelvam.

Dalam temu bual dengan The Malaysian Insight, Arutchelvam berkata ahli politik perlu lebih berhati-hati dengan kata-kata mereka terutama dalam era media sosial.

“Percakap ahli politik berbeza apabila dengan khalayak berbeza. Contohnya apabila ahli politik Cina bercakap dengan khalayak Cina, dia akan menggunakan suara yang berbeza, ahli politik Melayu juga sama apabila bercakap dengan khalayak Melayu.

“Mereka sepatutnya lebih berhati-hati dan (kejadian) ini sepatutnya menjadi pengajaran. Tiga perkataan menjadi 700 perkataan hanya untuk meminta maaf, untuk cuba membenarkan apa yang dikatakan,” kata Arutchelvam.

Najwan baru-baru ini membuat kenyataan berbaur perkauman dalam kumpulan WhatsApp terhadap PSM dan Sivaranjani Manickam, calon parti itu bagi kerusi DUN Meru.

Merujuk kepada laporan berita mengenai Sivaranjani yang diletakkan di kerusi DUN Meru, Najwan menghantar mesej kepada kumpulan PKR, menggelar PSM sebagai “parti India estet”.

Tangkap layar mesej Najwan dalam kumpulan itu dikongsi di Twitter oleh Setiausaha Agung PSM Sivarajan Arumugam.

Najwan, yang merupakan timbalan ketua PKR Shah Alam, segera meminta maaf selepas mesej itu menjadi tular, berkata beliau tidak bersifat perkauman atau memiliki prejudis terhadap mana-mana kaum.

Arutchelvam berkata Najwan memang menghubunginya untuk memohon maaf selepas kejadian itu.

“Beliau memang ada menelefon saya untuk memohon maaf atas apa yang dikatakan. Anda mulakan api jadi anda perlu memadamkannya. Media sosial sangat berkuasa, anda akan berdepan masalah.”

Tambahnya, PSM tidak berhasrat untuk membuat laporan polis kerana laporan itu membazir sumber polis.

Bagaimanapun, beberapa pihak lain membuat laporan polis terhadap Najwan atas penghinaan perkauman itu.

Kerajaan memberi amaran kepada ahli politik supaya berhati-hati dalam memainkan isu 3R (agama, bangsa, diraja).

Pada Selasa, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa atas dua pertuduhan menghasut berhubung kenyataannya terhadap institusi diraja.

Pada masa yang sama, polis juga sedang menyelesaikan siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng berhubung kenyataan yang menyentuh 3R. – 19 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen