Harga beli banglo Guan Eng ditetapkan sebelum Ogos 2013


Looi Sue-Chern

Mahkamah hari ini diberitahu bahawa Lim Guan Eng menetapkan harga beli untuk banglo di Jalan Pinhorn bersama pemiliknya Phang Li Khoon lebih awal daripada 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2018.

MAHKAMAH hari ini diberitahu bahawa Lim Guan Eng menetapkan harga beli untuk banglo di Jalan Pinhorn bersama pemiliknya Phang Li Khoon lebih awal daripada 2015.

Bekas pengurus jualan Citibank, Lim Wern Shern memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bahawa ketua menteri itu kali pertama membuat permohonan pinjaman RM2.1 juta pada 2013 untuk membiayai pembelian banglo itu.

Katanya, beliau dihubungi oleh isteri Guan Eng, Betty Chew berkenaan permohonan pinjaman itu pada Ogos 2013 dan kertas kerjanya ditandatangani Guan Eng tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, pelanggan itu tidak meneruskan permohonan, katanya.

“Padan 5 Jun, 2015 Chew menghubungi kami sekali lagi untuk meneruskan pinjaman berkenaan. Saya bertemunya di pejabatnya dan memaklumkan perlu membuat permohonan baharu,” katanya.

Wern Shern berkata Guan Eng kemudian menandatangani permohonan pinjaman kedua untuk nilai yang sama – RM2.1 juta, iaitu 75% daripada nilai banglo.

Katanya, bayaran bulanan untuk pinjaman itu ialah RM16,172.

Wern Shern yang bekerja di Citibank selama lima tahun hingga November tahun lalu ialah saksi pendakwa ke-12 dalam kes rasuah Guan Eng berkenaan pembelian rumah di Jalan Pinhorn itu, di mana Phang menjual kepadanya pada harga RM2.8 juta pada 2015.

Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kelebihan untuknya dan isteri dengan membeli banglo itu pada harga di bawah nilai pasaran.

Pihak pendakwa berkata hartanah itu dinilai berharga RM4.27 juta pada masa itu dan akan membentangkan bukti bahawa Guan Eng membelinya dalam pengetahuan ia di bawah nilai pasaran dan Phang ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai ketua menteri.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjarakan sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – 27 Mac, 2018.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen