Usah bakar isu 3R untuk menang PRN


G Manimaran

PDRM beri amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap parti yang sentuh isu kaum, agama serta institusi diraja sepanjang PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2023.

PENAMAAN calon pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri belum pun tiba. Penamaan hanya dilangsungkan pada 29 Julai, bermakna 12 hari dari sekarang.

Campur tolak lebih kurang dalam dua minggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan membuka pintu pusat penamaan calon bagi 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Maka, tempoh berkempen rasmi selama 14 hari hanya akan dibenarkan sebaik saja proses penamaan calon berakhir. Sehingga itu kita tidak boleh menamakan hari berkempen sebagai tempoh rasmi berkempen.

Pun begitu bahang PRN bertiup kencang. Suhu semakin meningkat, dan terus meningkat. Kempen sudah digerakkan dengan aktif, di semua peringkat, seolah-olah kita sudah memasuki pusingan kempen rasmi PRN.

Kenyataan dan bahan ceramah yang saling cabar-mencabar, yang lazimnya kelihatan sewaktu tempoh berkempen sebenar, sudah kelihatan dengan ketara. Sudah pasti situasi itu akan semakin panas dalam beberapa hari lagi.

Sebagaimana kita sedia ketahui atau maklum, PRN melibatkan enam negeri ini sememangnya unik. Ini kali pertama PRN melibatkan lebih daripada satu negeri diadakan secara berasingan dan tidak serentak dengan pilihan raya umum peringkat pusat atau Parlimen.

Lazimnya PRN diadakan hanya bagi satu-satu negeri, pada satu-satu masa, seperti PRN Sabah dan Sarawak pada masa-masa yang lalu. Kelaziman itu mengalami perubahan dua tahun lalu apabila Melaka mengadakan PRN lebih awal.

Kemudian disusuli dengan PRN Johor pada Mac 2022 – dalam tempoh empat bulan. Di sebalik keunikan dan kelainan itu, kini negara berhadapan dengan PRN serentak melibatkan enam negeri. Kesemua negeri membubarkan DUN masing-masing hampir serentak di bawah persefahaman dibuat bersama.

Suasana PRN Johor dan Melaka tidaklah sehebat dan mencabar berbanding sekarang apabila enam negeri melangkah ke PRN masing-masing.

PRN enam negeri ini memperlihatkan bahang pilihan raya yang agak unik. Ia berlangsung dalam norma baharu landskap pilihan raya. Menjadi gelanggang persaingan yang jauh berbeza.

Saingan lebih sengit. Saingan menjadi medan kayu pengukur prestasi kerajaan negeri dan kerajaan pusat susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Berdasarkan pendekatan dan kandungan kempen tidak rasmi sejak SPR mengumumkan tarikh pilihan raya baru-baru ini, PRN kali ini akan menjadi sesuatu yang amat berbeza daripada segi cabaran bagi SPR selaku badan tunggal pengurusan pilihan raya di bawah undang-undang negara untuk mengendalikanya.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap parti politik yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama serta institusi diraja sepanjang perjalanan PRN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengingatkan parti politik yang bertanding supaya tidak memainkan isu sensitif sepanjang tempoh berkempen.

Amaran agar tidak memainkan isu 3R dalam kempen pilihan raya bukanlah sesuatu yang baharu. Ia dikeluarkan dalam setiap pilihan raya. Kadang kala di luar musim pilihan raya. Nampaknya tiada pihak yang mengambil peduli atau kisah mengenai amaran dan ingatan berkali-kali ini.

Perkara 3R terus dibangkitkan, sekali gus terus menghangatkan suhu politik.

Kenyataan politik beberapa pemimpin sudah menjadi perhatian pelbagai pihak – dari peringkat istana sehinggalah kumpulan marhaen. Begitu juga ucapan beberapa pemimpin parti politik sejak beberapa minggu lalu.

Secara tidak langsung ia menjadi gambaran dan cerminan apa yang bakal berlaku menjelang hari pengundian pada 12 Ogos nanti. Malah laporan polis yang berkaitan dengan isu 3R telah dan sedang dibuat di seluruh terhadap beberapa pemimpin politik.

Sebelum ini kita hanya biasa dengan bahan PRN satu-satu negeri. Bagaimanapun, kali ini enam negeri. Enam negeri yang ditadbir parti dan gabungan yang berbeza. Semua pihak bertekad mahu mempertahankan kuasa negeri masing-masing.

Asas kuasa yang sedia ada mahu dipertahankan demi maruah parti dan gabungan masing-masing. Aktor politik bermatian-matian mahu mengekalkan mandat masing-masing.

Malah ada yang melabelkan kejayaan pada 12 Ogos ini akan menjadi ukuran kepada kedudukan kerajaan perpaduan di peringkat. Begitulah sebaliknya.

Perlumbaan menjadikan persaingan semakin sengit dan mencabar.

Keadaan bertambah panas dengan pengumuman hasil tinjauan umum mengenai sentimen pengundi. Hampir setiap hari ada hasil kajian yang dikendalikan oleh banyak pihak dan firma.

Begitu juga oleh organisasi media. Semua ini menambah bahan politik dan pilihan raya negara secara keseluruhan. Meskipun pilihan raya hanya melibatkan enam negeri, tetapi ia seolah-olah melibatkan pilihan raya nasional. Kesan dan impak bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi juga melibatkan politik peringkat nasional.

Ada parti politik yang kelihatan rasional dengan kedudukan dan kekuatan mereka. Ada yang sebaliknya. Ada yang mendakwa mereka akan merampas negeri lawan.

Di sebalik lumrah politik dengan suhu pilihan raya semakin meningkat. satu aspek yang menjadi perhatian adalah tentang kematangan, sikap dan personaliti sebenar pemimpin politik kita.

Cara dan bahan yang diketengahkan melalui kenyataan dan ceramah politik menunjukkan personaliti sebenar sesetengah ahli politik termasuk mereka yang memegang jawatan penting dan utama sama ada di peringkat parti mahupun kerajaan.

Ada yang kelihatan sudah hilang kewarasan berpolitik sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan negara.

Rakyat bertanya “adakah ini pemimpin politik yang kita ada”. Negara sedang berdepan dengan jurang kepimpinan berkualiti, yang mempunyai segala ciri sebagai pemimpin disegani, tersohor dan dihormati rakyat segenap lapisan. Jangan sampai hilang pedoman dalam politik.

Di sebalik saingan yang paling mencabar, PRN kali ini tidak mencerminkan moral aktor politik yang diperlukan. Malah tidak menggambarkan karisma sebenar ahli politik.

Betul, saingan memerlukan strategi untuk menang. Tetapi, jangan sampai kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Persaingan perlu diiringi dengan karektor membina yang tinggi. – 17 Julai, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen