4 calon taruhan Muda di Selangor


Ravin Palanisamy

Muda akan berganding dengan Parti Sosialis Malaysia selepas disisihkan Pakatan Harapan bagi pilihan raya negeri 12 Ogos depan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 17 Julai, 2023.

PARTI berasaskan belia Muda, yang disisihkan oleh Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini, memperkenalkan empat calon dalam pusingan pertama pengumuman mereka Khamis minggu lalu.

Calon itu akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, Batu Tiga, Sentosa dan Bukit Antarabangsa semuanya di Selangor dan semuanya kerusi kuat penyandang.

Tiga daripada empat kerusi negeri - Seri Serdang, Batu Tiga dan Sentosa - secara tradisinya menjadi kubu kuat PH.

Satu lagi kerusi menjadi milik Perikatan Nasional (PN) sebelum DUN dibubarkan.

Barisan pertama calon Muda adalah Amir Hariri Abd Hadi dan tiga calon wanita - Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen, Thanusha Ramanieswaran dan Melanie Ting Yi-Hlin.

Semuanya adalah muka baharu dalam pilihan raya tetapi mempunyai beberapa pengalaman sebagai aktivis.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa pengundi di DUN itu memberikan peluang kepada calonnya pada pilihan raya negeri, mendakwa mereka calon yang berbaloi dan mempunyai keupayaan.

“Mereka muda, berbakat dan sedia memberikan khidmat sepenuh hati,” katanya.

“Mereka bukan hanya mewakili komuniti berbeza dari segi latar belakang. Mereka berbilang kaum dan lebih utama, saya fikir mereka akan memberikan sepenuh jiwa raga untuk berkhidmat.

“Dalam situasi politik yang terbahagi kepada dua blok politik yang besar, kami harap orang ramai memberi peluang kepada calon ini untuk berkhidmat jadi kita akan membantu memajukan negara,” kata ahli Parlimen Muar itu.

Bagi pilihan raya negeri akan datang, Muda akan berganding dengan Parti Sosialis Malaysia selepas dibuang PH.

Sebelum ini, Muda yang baru berusia 18 bulan bekerjasama dengan PH menghadapi pilihan raya negeri Johor selain Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Selepas PRU15, Muda menyokong kerajaan perpaduan diketuai PH dan berharap dapat menjadi sebahagian daripada gabungan PH namun ia tidak menjadi kenyataan.

Syed Saddiq menegaskan parti itu memutuskan untuk beroperasi secara solo selepas PH dan kerajaan perpaduan gagal menunaikan reformasi yang dijanjikan.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu beroperasi secara solo selepas PH dan kerajaan perpaduan gagal menunaikan reformasi yang dijanjikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 Julai, 2023.

Calon Muda

Amir Hariri adalah setiausaha agung Muda dan akan bertanding di DUN Seri Serdang.

Calon berusia 32 tahun itu adalah penyelaras kumpulan hak asasi Suaram.

Beliau calon paling menonjol dalam kalangan empat calon itu. Beliau berkata mahu bertanding di Seri Serdang kerana membesar di kawasan itu.

“Bapa saya seorang ahli tegar PAS dan selalu pergi ke Kelantan dari sini untuk mendengar ceramah. Kini saya bersama Muda dan saya mahu menyatakan sekalipun kami berbeza pendapat, kami tidak harus retak hubungan kekeluargaan disebabkan politik,” katanya.

“Saya harap orang ramai akan memberikan mandat mereka, percaya dan yakin dengan saya dan hakikat saya akan melakukan apa sahaja untuk mengubah kawasan ini,” tegasnya.

Pada pilihan raya terakhir pada 2018, Dr Siti Mariah Mahmud dari Amanah memenangi kerusi Seri Serdang dengan majoriti lebih 14,000 undi. – 17 Julai, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen