INDIA dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani perjanjian untuk mempromosikan penggunaan mata wang negara masing-masing membabitkan perdagangan dua hala.
Memorandum persefahaman (MOU) antara Reserve Bank of India (RBI) dan Bank Pusat UAE mengenai rangka kerja menggunakan rupee dan dirham bagi urus niaga rentas sempadan akan mewujudkan sistem penyelesaian mata wang tempatan (LCSS).
Ia meliputi semua transaksi akaun semasa dan transaksi akaun modal yang dibenarkan, menurut RBI dalam satu kenyataan pada Sabtu.
“LCSS akan membolehkan pengeksport dan pengimport membuat invois dan membayar dalam mata wang domestik masing-masing, yang seterusnya akan membolehkan pembangunan pasaran pertukaran asing INR-AED (rupee-dirham),” katanya.
“Memorandum ini juga akan menggalakkan pelaburan dan kiriman wang antara kedua-dua negara. Penggunaan mata wang tempatan akan mengoptimumkan kos transaksi dan masa urus niaga, termasuk kiriman wang daripada rakyat India yang menetap di UAE,” menurut RBI.
Kedua-dua pihak turut menandatangani satu lagi MOU bagi menghubungkan sistem pembayaran dan pemesejan mereka.
MoU itu ditandatangani gabenor RBI Shaktikanta Das dan gabenor Bank Pusat UAE Khaled Mohamed Balama di Abu Dhabi di hadapan Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden UAE Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan.
India dan UAE menyasarkan untuk mengembangkan perdagangan bukan minyak kepada AS$100 bilion menjelang 2030.
India mendesak untuk menggunakan lebih banyak matawang rupee dalam urus niaga antarabangsa dengan rakan dagangan utamanya.
Sebagai pengimport minyak mentah ketiga terbesar di dunia, India juga berminat untuk mengurangkan pergantungan kepada dolar AS untuk membuat pembayaran. – Bernama, 15 Julai, 2023.
Komen