Bekas pegawai tinggi kerajaan antara calon Perikatan pada PRN, kata Hamzah


Setiausaha Agung Perikatan Nasional berkata mereka yang akan dicalonkan itu mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing serta berwibawa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai 2023.

PERIKATAN Nasional (PN) akan mencalonkan beberapa bekas pegawai tertinggi kerajaan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Hamzah Zainudin.

Mereka yang akan dicalonkan itu mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing serta berwibawa, kata setiausaha agung PN itu seperti dilapor media.

Hamzah bagaimanapun tidak menamakan calon-calon yang akan bertanding pada PRN di enam negeri 12 Ogos nanti.

“Ya, kita ada beberapa individu yang akan diketengahkan nanti pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

“Calon yang diketengahkan itu mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing serta berwibawa,” katanya seperti dipetik Berita Harian pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Bersama Ahli Parlimen Larut, di Dewan Permai Majlis Daerah Selama, malam tadi.

Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut turut melahirkan keyakinan calon yang bertanding itu mampu mentadbir urus negeri dengan lebih baik sekiranya menang pada PRN.

PN mentadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu sebelum Dewan Undangan Negeri masing-masing dibubarkan, manakala Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di enam negeri berkenaan diadakan serentak dengan hari pengundian pada 12 Ogos, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. – 15 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen