Menangani Muda bukan dengan meminggirkan


Ruhan Shahrir

Kelemahan PH menguruskan hubungannya dengan Muda menyebabkan Muda pada akhirnya memilih jalan sendirian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2023.

PAKATAN Harapan (PH) lemah menangani Muda. Ia bukan perkara baru. Sejak daripada penubuhan Muda lagi terdapat kecenderungan daripada PH, khususnya sayap pemuda mereka untuk melihat Muda sebagai ancaman bukan kawan. Persoalannya kenapa?

Muda ditubuhkan ketika berlakunya goncangan kestabilan politik negara hasil daripada “Langkah Sheraton” yang mengakibatkan runtuhnya kerajaan PH selama 22 bulan.

Psikologi organisasi politik yang kuasanya ditarik adalah suatu fenomena yang rumit. Bukan hanya buat PH tetapi mana-mana parti yang pernah mengecap nikmat kuasa.

Fungsi untuk mengagihkan sumber ekonomi seperti projek, kontrak, jawatan, kedudukan dan segala macam habuan ekonomi yang datang daripada kedudukan kuasa politik yang dimiliki hilang sekelip mata.

Sedangkan simpulan perselingkuhan ekonomi-politik tersebutlah yang akan menentukan bukan hanya kelangsungan parti tetapi juga sebagai modal untuk meraih sokongan daripada pengundi.

Ini tidak terelakkan di dalam sistem demokrasi liberal Malaysia yang masih terikat dengan budaya naungan.

Menaungi dan dinaungi lebih dekat dengan budaya politik Melayu dan Bumiputera lainnya berbanding Cina. Ini sebahagiannya adalah kerana permasalahan etnisasi ekonomi warisan penjajahan yang sehingga sekarang masih belum berjaya dirungkaikan simpulannya.

Daripada bingkai ekonomi-politik yang sebegitu rupa Muda muncul dan hadir untuk sama-sama merebut kuasa di dalam lanskap politik Malaysia yang sudah pun sempit dan sesak dipenuhi parti yang bersaing di kolam hampir sama.

Tambahan pula kewujudan Muda menyebabkan sayap pemuda parti PH (misalnya pemuda PKR, Amanah dan DAP) terpaksa bersaing dengan sebuah parti luar yang juga terdiri daripada kohort yang sama.

Muda dalam konteks ini dilihat sebagai perampas sumber-sumber ekonomi-politik daripada potensi calon Pemuda PH. Justeru, tidaklah menghairankan jika sekiranya perseteruan, kecam-mengecam dan serang-menyerang kelihatannya lebih tertumpu antara Muda dengan sayap pemuda parti PH.

Kolamnya kecil, ikannya banyak, sumber makanannya pula terhad. Dalam konteks ini apa yang berlaku adalah survival of the fittest atau kelangsungan buat yang kuat. Yang besar perlu menelan yang kecil untuk memastikan dirinya terus hidup dan berkelangsungan.

Bekerjasama bererti sumber kelangsungan (baca: agihan ekonomi dan kedudukan politik) akan menjadi terbatas dan ini akan mengancam kewujudan parti tersebut sendiri.

Pada hemat saya ini adalah tenaga sosial di lapisan akar yang membentuk psikologi PH. Justeru, PH langsung tidak melibatkan Muda di dalam rundingan agihan kerusi untuk PRN di enam negeri yang bakal berlangsung tak lama lagi.

Psikologi PH tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesaikan. Ia masalah struktural warisan etnisasi ekonomi-politik-sosial penjajah yang memerlukan bingkai kehidupan berbangsa dan bernegara yang baru. Sesuatu yang tiada parti politik setakat ini mampu untuk meraciknya dengan lebih halus dan menawarkan wawasan masa depan yang lebih jelas, adil dan terangkum.

Natijah

Namun, dalam konteks PRN enam negeri itu, tindakan PH untuk tidak melibatkan Muda di dalam agihan kerusi bertitik-tolak daripada psikologi yang saya petakan di atas.

Suatu psikologi yang sangat tidak membantu di dalam hubungan antara parti yang kurang lebih mempunyai agenda dan matlamat yang tidak jauh berbeza.

Natijah dari psikologi tersebut adalah jelas. Pecah undi. Kelebihan buat PN. Tidak kira di mana Muda bertanding, sama ada di kerusi calon PH atau BN, penyokong PH yang kurang senang dengan kerjasama PH-BN, akan mengundi Muda. Parti Muda adalah alternatif mereka.

Manakala penyokong PN pula tidak beralih kerana tidak ada alternatif lain selain daripada PAS dan Bersatu yang membawa aspirasi serta ideologi politik yang kurang lebih sama.

Buat pengundi tersebut, BN mungkin bukan lagi pilihan alternatif mereka kerana dianggap bersekongkol dengan PH yang di dalamnya ada DAP.

Malah penyokong BN dahulu, yang tidak berpuas hati dengan kerjasama antara BN dan PH, berkemungkinan pula akan mengundi PN pada kali ini.

Pengundi atas pagar pula, yang mungkin berkira-kira untuk mengundi PH, kini disajikan pula dengan satu lagi alternatif dari jalur politik yang kurang lebih serupa, yakni Muda. Justeru, kehadiran Muda lebih cenderung memecahkan undi PH-BN daripada undi PN.

Berhadapan dengan keadaan tersebut, senario pecah undi PH-BN tidak terelakkan. Namun, itu adalah hakikat sistem pilihanraya demokrasi liberal yang berteraskan persaingan pelbagai parti.

Kecuali jika diadakan undang-undang yang menetapkan hanya parti yang menerima peratusan undi minimum di pilihan raya lepas yang boleh dibenarkan bertanding.

Selagi tiada undang-undang seperti itu, tidak kira parti sekecil mana dan sebanyak mana undi yang mereka perolehi di pilihan raya lepas, semuanya berhak untuk bertanding. Termasuklah Muda.

Kendati pun, senario pecah undi tersebut sebenarnya boleh dielakkan jika sekiranya PH bersifat lebih inklusif terhadap Muda.

Kelemahan PH menguruskan hubungannya dengan Muda telah menyebabkan Muda pada akhirnya memilih jalan sendirian.

Saya meletakkan tanggungjawab tersebut lebih kepada PH kerana PH yang memiliki kepengaruhan kuasa politik (political power leverage) berbanding Muda.

Justeru, seharusnyalah PH merangkumkan Muda di dalam perundingan agihan kerusi. Tak mungkin untuk Muda yang tidak punya kepengaruhan kuasa politik untuk berbuat demikian.

Namun saya juga faham, kemungkinan beberapa tindakan Muda sebelum ini yang dilihat melanggar PH (misalnya pada PRN Johor 2022 di DUN Larkin) dan juga kritikan (atau serangan?) yang dilakukan oleh Muda kepada kerajaan perpaduan (misalnya isu skandal pembinaan kapal tempur pesisir atau LCS), serta kecaman lantikan politik di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dilihat PH sebagai ancaman kepada kestabilan kerajaan perpaduan yang seterusnya mempengaruhi hubungan PH dan Muda.

Pada masa sama tidak boleh diketepikan PH mungkin menganggap Muda sebagai parti yang tidak signifikan dan kurang berpengaruh untuk meraih undi buat mereka.

Keputusan PRU15 yang lepas menunjukkan populariti Muda di media sosial gagal diterjemahkan di medan sebenar pilihan raya. Malah pengundi Muda khususnya Melayu, lebih cenderung memilih PN daripada Muda sendiri.

Mempertimbangkan semua itu, PH mungkin merasakan Muda tidak perlu dilibatkan di dalam rundingan agihan kerusi untuk PRN nanti. Mungkin sahaja dalam fikiran PH, Muda adalah parti nyamuk yang mengganggu. Justeru, Muda tidak perlu dilibatkan di dalam rundingan agihan kerusi PRN.

Namun, sikap memandang remeh dan rendah sebegitu rupa tidak kondusif untuk hubungan jangka pendek dan juga jangka panjang buat kedua-dua pihak yang saya kira tidak mempunyai banyak perbezaan dari sudut sasaran demografi pengundi dan juga aspirasi politik untuk menjadikan Malaysia lebih baik.

Jika Muda dan PH-BN yang bersama-sama menempati kerusi blok kerajaan di parlimen bertembung sesama sendiri di PRN nanti, natijahnya adalah hubungan yang renggang akan bertambah tempang.

Dalam keadaan itu yang untung tentunya PN. Yang tergugat adalah kerajaan perpaduan. Yang menjadi mangsa apabila ketidakstabilan kerajaan berterusan, adalah rakyat khususnya marhaen.

Keterangkuman kunci politik gabungan

Waktu adalah inti dalam membuat keputusan politik.  Dan waktu masih ada buat PH dan Muda untuk berunding supaya tiada sebarang pertembungan berlaku sesama sendiri, baik dengan parti PH, mahu pun parti BN.

Pertembungan hatta dengan BN sekalipun hanya akan merumitkan lagi hubungan antara parti yang membentuk kerajaan perpaduan.

Di mana kedudukan Muda nanti apabila Dewan Rakyat dibuka semula? Di blok kerajaan yang dilawannya ketika PRN atau di blok pembangkang? Rumit dan bercelaru.

Bingkai besarnya adalah kestabilan kerajaan perpaduan perlu dipelihara sehingga habis penggal. Ia memerlukan untuk PH tidak meminggirkan Muda dan untuk Muda lebih lunak menangani karenah serta ego PH. Keterangkuman adalah kunci kepada mana-mana politik berbentuk gabungan.

Kecuali buat mereka yang angkuh. Beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh. Jarum yang dibawa, jangan pula gunting yang menyambut. – 15 Julai, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen