PEMAIN industri pelancongan tidak percaya pihak berkuasa memantau pakaian pelancong antarabangsa yang tiba di negara ini.
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (Mita) Uzaidi Udanis berkata mereka belum pernah mendengar peraturan sedemikian.
Baru-baru ini, tular sebuah video di media sosial mendakwa pelancong ditarik keluar ketika baru tiba ke negara ini kerana pakaian mereka.
Uzaidi berkata tiada bukti konkrit bahawa pihak berkuasa sedang memeriksa pakaian pelancong.
“Saya ada bertanya kepada ahli saya dan mereka juga tidak mendengar sebarang insiden sedemikian.
“Kami berharap orang ramai tidak menyebarkan khabar angin seperti ini kerana ia akan menjejaskan pelancongan dan menghalang pelancong masuk ke negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Katanya, sekiranya terdapat sebarang kes, ia perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Mita mempunyai kira-kira 3,500 ahli di seluruh negara.
Uzaidi berkata, dia baru-baru ini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menaiki penerbangan dan menyaksikan semua pelancong berpakaian kasual.
“Saya tidak nampak sesiapa yang berpakaian tidak sesuai. Kami dengar di media sosial berlaku insiden berkenaan, tetapi kami tidak tahu siapa mereka ini dan siapa yang terjejas.
“Sama ada benar atau tidak kita tidak tahu. Jangan cetuskan khabar angin tidak berasas seperti ini di media sosial kerana kita bersaing dengan negara serantau lain untuk membawa pelancong masuk ke Malaysia.
“Kami mahu menggalakkan lebih ramai orang datang ke sini supaya kami dapat membantu ekonomi. Kami berharap orang ramai tidak akan membuat spekulasi dan menyiarkan perkara di media sosial untuk mendapat perhatian.”
Uzaidi berkata dia tidak pernah mendengar ada kakitangan ditempatkan di pintu masuk untuk memantau pakaian pelancong.
“Siapakah pihak berkuasa utama untuk melaksanakan sekatan seperti ini? Saya tidak percaya ada pihak berkuasa yang memantau pakaian pelancong.
“Setakat ini kita belum mendengar ada kes yang dilaporkan mengenai perkara ini.
“Setahu kami tiada kod berpakaian untuk memasuki negara ini. Saya tidak percaya ada undang-undang khusus mengenai (pakaian) ini. Jika ada, kami akan menasihati rakan sejawatan kami di negara lain.”
Tambahnya, mungkin negeri pantai timur mempunyai sekatan tersendiri terhadap pelancong.
“Mungkin di Kelantan dan Terengganu mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) mereka sendiri.”
Beliau juga menolak khabar angin China telah mengeluarkan nasihat perjalanan untuk rakyatnya yang melawat Malaysia.
“Sebenarnya jumlah pelancong China semakin meningkat dan kami menjangkakan kemasukan pada September dan Oktober.
“China sangat tegas, jika ada sebarang isu, kami akan mendengar daripada rakan sejawatan kami di sana. Setakat ini semuanya teratur.” – 15 Julai, 2023.
Komen