Kenaikan gaji bukan bidang kuasa Rafizi, kata majikan


Alfian Z.M. Tahir

PERSEKUTUAN Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan pengumuman Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai rancangan kenaikan gaji progresif melibatkan sektor swasta dan awam.

Dalam satu kenyataan, presidennya Syed Hussain Syed Husman berkata dasar gaji bukan di bawah bidang kuasa kementerian ekonomi, tetapi Kementerian Sumber Manusia.

“Menteri ekonomi sebaliknya patut berkongsi dengan perniagaan dan rakyat rancangan meningkatkan ekonomi, sekali gus meningkatkan taraf hidup.

“Setakat ini, MEF masih belum melihat sebarang rancangan konkrit seperti itu daripada menteri untuk meningkatkan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Rafizi berkata beliau berharap sektor swasta juga komited membantu kerajaan merealisasikan dasar mengenai kenaikan gaji secara progresif bagi menangani kenaikan kos sara hidup.

Rafizi berkata kerajaan memerlukan dasar menyeluruh melibatkan sektor swasta dan awam kerana ia kini menjadi keutamaan untuk merapatkan jurang ketara antara pertumbuhan gaji serta kenaikan kos sara hidup.

Selasa lalu, Rafizi juga membayangkan rancangan Putrajaya berhubung gaji progresif mungkin memerlukan kenaikan wajib gaji tahunan.

Bercakap lanjut, Syed Hussain berkata Rafizi harus mengambil kira kuasa pasaran menentukan harga buruh yang sesuai.

Tambahnya, Rafizi juga tidak seharusnya mewajibkan kenaikan gaji.

“Industri di seluruh dunia sentiasa bergantung pada data pasaran untuk menentukan pampasan dan faedah. Kerajaan tidak seharusnya menentukan apa yang patut dilakukan dari segi pemberian ganjaran kepada pekerja,” katanya.

Menurut Syed Hussain, Putrajaya perlu meletakkan asas yang sesuai dan mencukupi untuk model gaji progresif dilaksanakan dengan berbincang dan berunding dengan pihak berkaitan.

Ini termasuk menubuhkan jawatankuasa yang terdiri daripada kesatuan sekerja, majikan dan kementerian dan agensi kerajaan.

“Model gaji progresif bukan sahaja mengenai menaikkan gaji tetapi memastikan peningkatan produktiviti dan keuntungan serta produk dan perkhidmatan yang lebih baik pada harga berpatutan untuk pengguna,” katanya. – 13 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen