PEMIMPIN Myanmar yang dipenjarakan Aung San Suu Kyi akan menyokong rundingan “tanpa prasyarat” untuk menamatkan krisis yang berlaku di negara itu, lapor Agensi Anadolu memetik laporan Kyodo News pada Rabu.
Pada Disember 2022, Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara 33 tahun selepas rampasan kuasa tentera menggulingkan kerajaan Liga Demokrasi Kebangsaan pada Februari 2021.
Sementara itu, Menteri Luar Thailand Don Pramudwinai mendedahkan bahawa beliau baru-baru ini bertemu Suu Kyi, menurut laporan itu.
Beliau mendedahkan perkara itu kepada rakan sejawatannya dari Asean yang bermesyuarat untuk sidang kemuncak tahunan di Indonesia.
Ia merupakan pertemuan peringkat tinggi pertama yang diketahui antara Suu Kyi dan mana-mana pegawai asing.
Pertemuan itu dikatakan telah berlangsung selama satu jam dan diadakan di sebuah penjara di ibu negara Naypyitaw. – Bernama, 12 Julai 2023.
Komen