Bersih perlu RM60,000 pantau PRN


GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memerlukan kira-kira RM60,000 untuk memantau enam pilihan raya negeri (PRN) bulan depan, selain melaksanakan kempen meningkatkan jumlah keluar mengundi.

Justeru, Bersih memohon sumbangan orang ramai bagi membolehkan pemantauan dijalankan bermula 29 Julai dan hari pengundian pada 12 Ogos, kata jawatankuasa pemandunya dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu umum PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding pada 29 Julai.

“Kami menganggarkan kos menggerakkan semua program dan kempen ini mencecah RM60,000, dan kami perlukan bantuan anda.  

“Walaupun pemantau kami bergerak secara sukarela dan tidak mengharapkan sebarang bayaran, namun kami tetap akan menanggung kos makan minum dan kos perjalanan,” kata Bersih.

Dengan hampir 10 juta pengundi akan mengundi dalam PRN di enam buah negeri, Bersih berkata ia akan melaksanakan aktiviti antaranya menggerakkan 89 orang pemantau bagi memantau kesalahan pilihan raya dan ucapan kebencian di 61 buah kerusi DUN.

Bersih juga akan melawan salah maklumat dengan mengemas kini laman web PEMANTAU yang didedikasikan bagi aduan kesalahan pilihan raya dan isu-isu yang berkaitan pilihan raya di pemantau.org.

Selain itu, pengundi akan diberi pendidikan melalui pembentukan pusat panggilan PRN untuk pertanyaan berkenaan pilihan raya seperti isu daftar pemilih, undi pos, pusat pengundian dan lain-lain isu, katanya.

Menurut Bersih lagi, kempen untuk meningkatkan jumlah keluar mengundi (#VoteLokal) dan menggalakkan pengundi luar untuk pulang mengundi di DUN masing-masing juga akan dilancarkan.

“Peratusan keluar mengundi yang tinggi adalah penting untuk demokrasi serta menambah keabsahan kerajaan baharu yang dibentuk.

“Setiap ringgit yang disumbangkan adalah amanah, dan kami akan menghasilkan laporan pilihan raya selepas tamatnya PRN.

“Kami dahulukan ucapan terima kasih di atas sokongan anda dan sila kongsikan kepada rakan serta keluarga anda,” katanya. – 11 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen