Lima langkah penting pacu ekonomi Madani


PADA Ogos ini, Naratif Ekonomi Madani bakal dilancarkan kerajaan sebagai panduan kepada hala tuju ekonomi negara. Naratif ini sangat kritikal sebagai kerangka kepada nadi ekonomi negara.

Namun, bagaimanakah naratif ini harus digarap agar ia dapat menjadi pemacu ekonomi seperti yang diharapkan?

Pertama, Naratif Ekonomi Madani yang dibangunkan perlulah memenuhi keperluan negara dengan menangani isu kemiskinan dan jurang pembangunan antara wilayah, mewujudkan ekosistem yang kondusif dengan nilai tambah yang mampu mencipta peluang pekerjaan berkualiti dan melaksanakan pembangunan secara lestari dan mampan.

Kedua, Naratif Ekonomi Madani sewajarnya merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang, dengan mengambil kira isu dan cabaran yang melanda negara termasuk yang berkait dengan daya tahan kewangan isi rumah dan keselamatan sosial.

Isu dan cabaran berkaitan kos sara hidup dijangka bakal berlarutan kerana pertumbuhan ekonomi yang dipengaruhi oleh struktur ekonomi sedia ada serta faktor luar, memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan ekonomi pasaran bebas melalui aktiviti perdagangan dengan pelbagai negara.

Isu struktur ekonomi sedia ada yang dimaksudkan di sini adalah berkait dengan pertumbuhan hutang isi rumah dan negara yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

Isu ini bukan unik di Malaysia sahaja malah merupakan satu fenomena yang berlaku di semua negara moden yang dipacu pertumbuhan ekonomi melalui industri hutang.

Pada tahun 2023 sahaja, RM46 bilion diperuntukkan dalam belanjawan negara untuk membayar kadar faedah atau bunga pinjaman kerajaan, bersamaan dengan 16 peratus daripada hasil negara.

Sehubungan itu, untuk menangani isu kenaikan kos sara hidup di punca utama, tumpuan Naratif Ekonomi Madani hendaklah diberikan kepada perubahan pokok dengan alternatif yang mampu mengurangkan secara signifikan kebergantungan ekonomi negara daripada pertumbuhan hutang.

Dalam usaha untuk menyelesaikan permasalahan ini, tentunya cabaran yang besar bakal dihadapi. Namun, hal ini dapat ditangani melalui langkah-langkah berikut:

1. Membangunkan sistem ekonomi berasaskan sedekah (Islamic Gift Economy) yang sistemik dan sistematik.

‘Sedekah’ di sini hendaklah difahami dalam bentuk yang luas dan merujuk kepada sumbangan wajib atau tidak wajib, termasuk cukai yang dikenakan dan zakat (bagi umat Islam), bantuan kewangan atau harta benda, pengguguran tuntutan atau pengurangannya, wakaf, takaful dan lain-lain.

Sistem ekonomi berasaskan sedekah melibatkan kegiatan ekonomi berasaskan perkongsian keuntungan dan risiko secara saksama, serta aktiviti perdagangan yang tulen.
Anggota masyarakat yang mampu patut digalakkan berbelanja secara berpada namun tidaklah dengan membazir atau bermewah-mewah secara melampau.

‘Sistemik dan sistematik’ merujuk kepada penggemblengan dan pengagihan sumber yang diuruskan secara profesional dan tersusun melibatkan penyelarasan dengan semua pemegang taruh termasuk agensi-agensi kerajaan persekutuan, agensi-agensi kerajaan negeri, komuniti bisnes, NGO dan lain-lain.

Berkaitan hal ini, penubuhan Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah diumumkan kerajaan dan mengandungi maklumat sosioekonomi isi rumah diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya.

Ringkasnya, sistem ekonomi berasaskan sedekah adalah satu alternatif yang mampu menangani isu kos sara hidup, menampung keperluan keselamatan sosial rakyat dan membangunkan ekonomi secara mampan.

2. Mendidik masyarakat berteraskan nilai-nilai manusiawi yang murni.

Masyarakat Malaysia hendaklah dididik menjadi masyarakat progresif yang menekankan aspek kemanusiaan dan kejiwaan, termasuk dalam menangani isu kemiskinan dan kos sara hidup.

Umpamanya, antara nilai yang perlu diterap ialah anggota masyarakat perlu digalakkan untuk berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki dan dilarang meminta-minta, kecuali bagi golongan yang benar-benar terdesak dan memerlukan.

Hikmah kewujudan yang miskin dan yang kaya adalah supaya mereka saling membantu antara satu sama lain. Bak kata pepatah, bagai aur dengan tebing.

Sehubungan itu, budaya menyumbang (filantropi) hendaklah disemarakkan dalam kalangan masyarakat dan komuniti bisnes di negara ini.

Amalan filantropi di sini adalah sebahagian daripada sistem ekonomi berasaskan sedekah yang perlu dibangunkan secara sistemik dan sistematik.

3. Menerapkan pendekatan dasar berasaskan bukti (evidence-based policy) melibatkan pelaksanaan intervensi bersasar yang diukur keberkesanan sebelum dikembangkan pada skala yang besar.

Melalui pendekatan ini, sumber negara dapat dimanfaatkan secara optimum, manakala pembaziran dan ketirisan dapat dielakkan. Pendekatan ini boleh dilaksanakan untuk pelbagai inisiatif termasuk program subsidi, keusahawanan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain.

Pendekatan dasar berasaskan bukti telah diperkenalkan di negara ini melalui inisiatif-inisiatif seperti projek behavioural insights oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia dan kajian penilaian keberkesanan program yang dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara.

Inisiatif-inisiatif sebegini hendaklah dilipat ganda dan dilaksanakan dengan meluas oleh semua kementerian dan agensi kerajaan.

4. Menguruskan segala sumber alam secara optimum agar pembangunan berlaku secara mampan untuk keperluan generasi sekarang dan generasi masa hadapan.

Keseimbangan ini sangat diperlukan agar pembangunan yang dilakukan tidak mengorbankan kepentingan generasi masa hadapan dan merosakkan alam yang kian terancam akibat eksploitasi dan perubahan iklim.  

5. Menyediakan peluang pendidikan yang inklusif, saksama, berkualiti dan relevan dengan realiti semasa dan masa depan demi menghasilkan tenaga pekerja yang kreatif dan inovatif, sesuai dengan keperluan negara.

Ini bermakna institusi-institusi pendidikan dan pengajian tinggi  perlu bergerak pantas dengan menyediakan kurikulum yang relevan dengan pasaran pekerjaan serta permasalahan yang dihadapi negara.

Diharapkan agar cadangan-cadangan di atas dapat dijadikan input yang bermanfaat dalam membangunkan Naratif Ekonomi Madani dan seterusnya memacu ekonomi negara ke arah kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua rakyat Malaysia. – 11 Julai, 2023.

 

*Mohammad Abdul Hamid ketua kluster kemakmuran ekonomi pertubuhan Ikram Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen