Masalah Anwar dan Madani, kita dan Islam Tajwid


Faisal Tehrani

SEPANJANG beberapa bulan tertubuhnya kerajaan perpaduan, Anwar Ibrahim selaku perdana menteri telah merubah kediaman rasminya di Seri Perdana menjadi tempat pertemuan para ulama dan sarjana. Siri pertemuan dengan mereka itu dinamakan sebagai Majlis Ilmu Madani.

Antara yang terhitung menjadi ulama terbilang yang diundang untuk siri Majlis Ilmu Madani ini ternyata ulama yang buat sesetengah orang dianggap bukan calang, berbobot, dan amat tinggi keilmuannya.

Mereka adalah Dr Ali Gomaa, bekas mufti Mesir; Habib Umar Bin Hafiz, pengasas Dar al-Mustafa di Tarim, Yaman; Jamal Farouk Jibreel dari Mesir; Mehmet Fadil Ceylani asal Turki; Muhammad Nuruddeen Lemu dari Nigeria; Ismail Menk dari Zimbabwe; Muhammad Salah dari Amerika Syarikat; Wael Ibrahim dari Australia; termasuk juga Dr Ekrima Sabri, Imam Masjid al-Aqsa; Ahmed Mohamed Saad dari United Kingdom; dan Muhammad Haydara al-Jilani dari Gambia.

Anwar merujuk tiga ulama terakhir dari senarai yang sebut diatas sebagai “guru peribadi”, “banyak membimbing diri mengenai pengajian Islam sejajar konsep Malaysia Madani yang dicetuskan”.

Apabila saya bertanyakan kepada ibu dan bapa-bapa saudara di kampung, tidak ada yang mengenal nama-nama di atas. Mereka hanya mengenal wajah ustaz dan ustazah di telefon bimbit yang kebanyakannya membawa propaganda – bukan dakwah – Islam Muhammadi.

Akan tetapi, saya ingin menyatakan di sebalik usaha murni yang terpuji ini; majlis-majlis Madani belum, dan saya berpendapat barangkali tidak akan dapat, menjadi satu tren atau gejala yang dapat mengekang umat Islam negara ini dari terus terjerumus ke dalam lembah atau kancah Islam keras.

Ada beberapa sebab musabab projek atau siri Majlis Ilmu Madani ini kurang atau belum berkesan. Pertamanya, perlawanan Madani itu nampaknya juga dengan Islam Fiqah yang amat sebati dengan orang Melayu kita.

Untuk memahamkan apa yang saya nyatakan sebagai Islam Fiqah ini, tiga bait syair dari Syair Dukanan Lubaba mungkin dapat merumuskannya:

Misalnya penyair namania Farazdaq
dengan Husein dia terserempak
di jalanan ke Iraq, Husein menapak
menahan rombongan bertanya kehendak.

Dengan Husein bertanyakan haji
Farazdaq hukum fikah ada tak pasti
tiada pula terbit di dalam hati
untuk meneman cucunda Nabi.

Walaupun nanti Farazdaq bertaubat
sayang sungguh dikira lambat
orang jahat dah dapat tempat
orang baik buru dihambat.

Bait-bait di atas menjelaskan bagaimana Saidina Hussein cucu Nabi Muhammad yang sedang dalam perjalanan ke Karbala, meninggalkan Mekah dan menanggalkan ihram untuk melawan korupsi kerajaan bani Umaiyyah yang diwarisi dari kebejatan administrasi Muawiyyah Abi Sufyan dan Yazid anaknya disapa oleh rombongan lain.

Dalam perjalanan untuk menentang kezaliman kerajaan ketika itu, Saidina Hussein terserempak dan berpapasan dengan Farazdaq yang tentunya mengetahui apa sedang berlaku dan tujuan penghulu pemuda syurga tersebut.

Pun, Farazdaq tidak terkesan dengan kebenaran perjuangan baginda Hussein sebaliknya menyibukkan diri dan bertanyakan soalan ranting mengenai fikah haji.

Dia ingin menyembelih korban di padang pasir Mina, seraya membiarkan cucu Rasulullah terkorban di gurun Karbala. Padahal syaitan sebenar yang harus dilecut ada di tempat lain, Farazdaq pula hanya menuju untuk melontar syaitan simbolik.

Akan tetapi Islam Fiqah itu meski menyedihkan, ada yang lebih dahsyat dan meruntun hati iaitu keterpesonaan umat dengan Islam Tajwid. Menurut saya, Islam Tajwid ini jauh lebih merengsa dari Islam Fiqah. Ia sangat permukaan, tidak ada kedalaman bahkan berupa hiasan seputar irama, panjang-pendek dengung dan menanding kemerduan suara.

Di Malaysia, Islam Tajwid ini mungkin sama naik dengan introduksi program musabaqah al-Quran saban tahun sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Tidaklah saya mengatakan musabaqah itu hodoh, naudzubillah; malah, membaca al-Quran itukan sangat dituntut; tetapi di tengah kelaguan, dan kedengungan makhraj huruf Arab itu ada kecelakaan umat yang perlu dibetulkan, dan kesialan yang bukan sahaja ditangisi tetapi wajib ditentang. Inilah Islam yang dialpakan.

Di zaman yang penuh ulama kacang dhal dan ustazah kacang goreng ini, persembahan Majlis Madani yang saya babarkan di atas menjadi lebih tragis apabila ia ditampil eksklusif di Seri Perdana, Putrajaya.

Tentu, wacana-wacana dengan terma payah ala Islam Madani ini tidak mencerminkan keinginan umat di kawasan pedalaman yang mendambakan hukum-hakam mandi wajib dan fikah wanita keluar darah, meskipun yang mengajinya itu tampak sudah berusia masing-masing 90 dan 80 tahun.

Untuk yang muda-muda pula mereka tertarik dengan Islam TikTok, Islam IG, atau Islam Youtube kelolaan selebriti segera atau selebriti yang naik haji. Mereka mudah tergiurkan ulama salafi memesong. Islam ini sering diperciki liplap kemeriahan bersulam modal niaga menyebabkan kita kadang tertanya adakah ini betul agama, atau mehnah ‘Barbie Berhijab’?

Dalam satu kajian Abdul Rashid Moten dan Saodah Wok, “Religiosity of Malays Living in Malaysian Rural Areas: An Analytical Survey” pada tahun 2015 mengenai keIslaman masyarakat luar bandar, tersimpul betapa orang Islam di kampung lekas orgasme dengan sembahyang, puasa dan cegahan meminjam wang daripada teman.

Manakala kajian Noraziahtulhidayu Kamarudin dan Sazilah Salam pada tahun 2012 ”Tajweed Understanding Among Malaysian Muslim” menampilkan klimaksnya nafsu memburu tajwid yang merupakan kebalikan dari Islam Muhammadi yang digalas oleh Saidina Hussein.

Bukan itu sahaja dekad demi dekad Islamisasi di tangan Anwar Ibrahim 1.0 telah menjauhkan umat Melayu dari kerencaman dan keberanekaan di dalam beragama, apabila mereka rasa selamba dan tidak bersalah untuk memusuhi idea-idea pluralistik seperti yang telah dibuktikan oleh Norshahril Saat dan Afra Alatas pada tahun 2022 dengan penyelidikan berjudul “Islamisation in Malaysia Beyond Umno and PAS”. Padahal perbezaan itu rahmat dan ikhtilaf itu jika betul caknanya akan membawa rahmat.

Di semput Islam Fikah dan Islam Tajwid, bukan itu sahaja masalah kefahaman Islam di negara ini, kerana dalam kalangan belia kedunguan dan kejahilan mereka dalam beragama adalah turut dipengaruhi oleh faktor lumayan atau tidaknya pendapatan dan jurang pendidikan.

Ini misalnya telah ditemukan oleh Mashitah Sulaiman dan sekapal kawan-kawannya pada tahun 2018 menerusi kertas bertajuk “Pengetahuan Dan Kefahaman Agama Dalam Kalangan Belia Melayu Di Lembah Kelang”.

Siri Majlis Ilmu Madani mungkin terlihat selaku idea baharu dan bermakna untuk sesetengah orang. Namun untuk umat terbanyak, ramai masih khayalkan Islam Fiqah seperti Farazdaq di atas. Lebih haru, pecahan yang lebih banyak ialah mengimani Islam Tajwid.

Mereka ingin masuk syurga dengan membaca al-Quran bersuara serak-lemak merdu, sedangkan ada darah Saidina Hussein basah menentang penyelewengan dan korupsi yang mereka tidak pernah ambil tahu.

Inilah masalah Anwar Ibrahim dan Madaninya, kita dan Islam Tajwid. – 11 Julai, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen