GLOBAL Bersih (GB) menyeru rakyat Malaysia di luar negara supaya memainkan peranan mereka bagi memastikan kertas undi untuk pilihan raya negeri (PRN) akan datang tiba di tanah air tepat pada masanya.
Setiausaha Agung GB Nirmala Devi Windgaetter berkata pada masa yang sama badan pemantau pilihan raya itu akan membantu pengundi menerima dan mengembalikan semula undi pos ke Malaysia mengikut masa yang ditetapkan.
“Buat masa ini kami menggerakkan sukarelawan dan berkongsi semua maklumat penting dengan pengundi,” kata Nirmala kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, beliau berkata sistem undi pos perlu ditambah baik supaya kertas undi rakyat di luar negara sampai di tanah air dengan lancar dan tepat masanya.
“Saya ingin tekankan bahawa kita memerlukan penyelesaian yang berkesan.”
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lalu umum PRN di enam negeri akan dijalankan secara serentak pada 12 Ogos, dengan tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon bertanding pada 29 Julai.
Sejumlah 9,773,571 pengundi berdaftar dijangkakan akan membuang undi pada PRN yang akan berlangsung di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, menurut statistik yang dikeluarkan SPR.
Nirmala memberitahu The Malaysian Insight, sukar untuk dipastikan jumlah sebenar pengundi di luar negara kerana mereka tidak mendaftar di kedutaan Malaysia.
“Pendaftaran secara automatik memudahkan warga Malaysia di luar negara mendaftar jadi pengundi.”
Katanya lagi, kira-kira 7,300 pengundi pos luar negara berdaftar direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), manakala 48,000 orang pada PRU15.
“Berdasarkan tinjauan terkini, kami dapati warga Malaysia berada di setiap benua kecuali Antartika. Paling ramai di Singapura.” – 11 Julai 2023.
Komen