Tidak perlu maklum mahkamah keputusan tidak buat rayuan, kata peguam PAS


Diyana Ibrahim

PAS tidak perlu memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Pilihan Raya mengenai keputusan parti itu tidak merayu pembatalan kemenangan di kerusi Kuala Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15), kata Peguam PAS Wan Rohimi Wan Daud,

Wan Rohimi berkata sekiranya tidak ada pemohonan rayuan yang difailkan parti dalam kes itu sehingga tamat tempoh yang diberikan, maka secara sendirinya hakim akan memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengosongkan kerusi itu.

“PAS tak perlu memohon keputusan secara rasmi. Jika mahkamah mendapati tiada notis rayuan difailkan dalam tempoh masa 14 hari yang diberikan (esok adalah hari terakhir) 

“Maka barulah hakim boleh memaklumkan kepada SPR tentang keputusan mahkamah bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dikosongkan untuk memberi laluan bagi PRK diadakan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahad lepas PAS mengesahkan tidak akan merayu pembatalan kemenangannya di kerusi Kuala Terengganu dalam PRU15.

Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berkata keputusan  itu diambil kerana tidak mahu meneruskan dengan rayuan kerana tempoh masa yang lama jika berbuat demikian.

Beliau berkata rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan akan mengambil masa enam bulan dan PAS tidak mahu mengabaikan pengundinya membiarkan kerusi itu kosong tanpa ahli Parlimen.

Selain itu katanya keputusan itu dibuat juga selepas yakin penyandang Ahmad Amzad Hashim masih boleh bertanding dalam PRK Kuala Terengganu.

Pada masa sama Takiyuddin berkata PAS juga berharap PRK Kuala Terengganu akan diadakan serentak dengan PRN pada 12 Ogos.

Turut mengulas mengenai perkara itu ialah bekas pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar yang berkata tidak ada masalah sebenarnya untuk PRK Kuala Terengganu diadakan serentak dengan PRN.

“Kalau PAS tidak berhajat buat rayuan keputusan mahkamah itu, tentu sekali ruang untuk SPR buat PRK serentak dengan PRN boleh dibuat.

“Ia sempat dibuat kerana tempoh dari sekarang hingga ke hari mengundi PRN pada 12 Ogos agak panjang. Jadi ruang masa untuk adakan serentak memang boleh,” katanya.

Namun secara peribadinya beliau berkata sebenarnya PRK Kuala Terengganu dan PRN wajar diadakan secara berasingan.

Jelasnya ia akan memudahkan SPR dan parti bertanding memberi fokus dan tumpuan dalam PRN.

“PRK boleh dibuat berasingan dalam tempoh masa 60 hari selepas tarikh mahkamah istihar kerusi Parlimen Terengganu kosong.

“Lagipun ia hanya melibatkan satu Parlimen sahaja berbanding kalau nak buat serentak SPR perlu mencetak  kerusi undi untuk PRU DUN dan Parlimen.

“Tapi kalau PRK berasingan jadi hanya perlu cetak kerusi Parlimen sahaja,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Amzad Hashim di kerusi tersebut dalam PRU15 selepas mendapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Keputusan Hakim Firruz Jaffriz memihak kepada pempetisyen, Mohd Zubir Embong dari Umno yang memfailkan permohonan itu 3 Januari lalu. – 10 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen