BEKAS pemilik banglo Jalan Pinhorn di Pulau Pinang, Phang Li Khoon membuat pinjaman RM2 juta untuk membeli kediaman itu yang kini menjadi milik Ketua Menteri Lim Guan Eng.
Pengurus Public Bank wilayah utara Choong Sung Yean berkata bank meluluskan permohonan pinjaman Phang, dan memaklumkan kepadanya menerusi surat bertarikh 5 September, 2008.
Pinjaman berkenaan, yang disahkan oleh Choong, adalah untuk membiayai pembelian banglo di 25, Jalan Pinhorn di George Town, Pulau Pinang.
“Ketika itu, pemilik berdaftar adalah Ming Holdings (M) Sdn Bhd dan hak milik kemudiannya dipindahkan kepada Phang,” katanya kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.
Choong merupakan saksi pendakwaan dalam kes rasuah Lim berhubung pembelian banglo terbabit daripada Phang pada 2015.
Beliau didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan gratifikasi kepada dirinya dan isterinya Betty Chew dengan membeli banglo daripada Phang pada harga RM2.8 juta, di bawah harga pasaran, apabila hartanah itu dinilai pada harga RM4.27 juta ketika itu.
Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Phang didakwa bersubahat dengan Lim mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Beliau menghadapi hukuman yang sama jika disabitkan kesalahan.
Semasa pemeriksaan balas, peguam Phang V. Sithambaram bertanya sama ada pinjaman perumahan adalah RM2.125 juta, yang mana Choong menjawab ya.
Pengurus bank serantau itu berkata pinjaman yang diluluskan datang dengan kadar pinjaman dasar 6.75 tolak 2.2% lebih 30 bulan.
“Kadar bayaran bulanan adalah RM11,872. Kadar ini dibayar setiap bulan termasuk faedah?” soal Sithambaram. Choong menjawab ya.
Media pada 2016 melaporkan Phang membeli banglo berkenaan pada harga RM2.5 juta pada 2008.
Lim dan keluarganya berpindah ke banglo di Jalan Pinhorn pada 2009. Beliau pada mulanya menyewa kediaman itu, dan membayar RM5,000 sebulan.
Selepas mahkamah ditangguhkan petang ini, peguam Lim, Gobind Singh Deo berkata pihak pembelaan akan membuktikan rumah itu dijual kepada ketua menteri dengan nilai saksama atau melebihi nilai pasaran.
Lim turut berdepan tuduhan berasingan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana didakwa menggunaan kedudukannya untuk mendapatkan gratifikasi untuk dirinya dan isterinya Betty Chew dengan meluluskan permohonan Magnificent Emblem untuk menukar status tanah pertanian kepada perumahan ketika mesyuarat jawatankuasa perancangan negeri pada 18 Julai, 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Hadhariah Syed Ismail bersambung esok. Pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya Masri Mohd Daud yang akan memanggil 14 saksi. – 26 Mac, 2018.
Komen