-2.jpg)
TIDAK banyak tumpuan dunia Islam ke atas serangan tentera Israel di Jenin dan kini rejim haram ini mengisytiharkan berundur selepas menamatkan operasi ketenteraan terbesar di Tebing Barat.
Waktu ini, dunia Islam yang sekadar menjadi penonton itu tentunya tidak prihatin dan teliti memerhati bahawa kebanyakan serangan kali ini menggunakan dron atau atau pesawat tanpa pemandu (UAV).
Apakah maknanya ini? Jika diteliti kemungkinan ini adalah kaedah baharu yang akan digunakan rejim pengganas dalam serangan ke atas wilayah Palestin.
Keganasan dan kezaliman mereka bukan sekadar fizikal, tetapi memasuki era digital bahkan dengan bantuan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin diperkatakan rejim haram Israel telah memulakan keganasan dan kezaliman digital ke atas penduduk Palestin.
Mereka bukan sahaja menggunakan dron tetapi dikhabarkan dron dengan bantuan teknologi peperangan AI.
Dalam serangan ke atas Jenin, Tentera Pertahanan rejim haram Israel (IDF) bersama pertubuhan pengganas Shin Bet mengakui untuk pertama kali sejak bertahun-tahun lamanya mereka menghancurkan sel pejuang Palestin di Jenin melalui serangan udara.
Menurut akhbar Jerusalem Post, arahan itu dibuat pada Rabu (28 Jun) apabila tentera Rejim Zionis semakin agresif menggunakan teknologi canggih untuk mengawasi wilayah Palestin.
Pada tarikh yang sama juga barisan pegawai kanan Israel membincangkan perubahan doktrin itu manakala Ketua Staf Tentera Jeneral Aviv Kohavi menandatangani arahan itu.
Menurut tentera Israel, dron itu belum pernah digunakan semasa serangan di Tebing Barat.
Sejak Julai 2022 tentera Israel mengaku menggunakan dron bersenjata dengan melancarkan UAV ke Gaza dan Tebing Barat.
Perkara tersebut bagaimanapun tidak diakui Israel sebelum ini kerana wilayah haram itu melarang sebarang penerbitan berita berkaitan penggunaan dron bersenjata.
Malah, terdapat banyak laporan berita antarabangsa mengenai dron yang digunakan bagi menyerang beberapa sasaran di Lubnan dan Iran, tetapi tidak pernah disahkan secara rasmi oleh Israel.
Terbaharu kenyataan itu dibuat selepas melihat isu berkenaan tidak menjadi halangan untuk menerbitkan berita penggunaan UAV bersenjata sebagai sebahagian daripada aktiviti operasinya.
Perkembangan itu juga sekali gus menamatkan rahsia terbuka mengenai penggunaan dron bersenjata semasa operasi tentera Israel.
Israel memiliki antara armada dron terbesar di Asia Barat dan antara pengeksport teknologi dron terbesar di rantau itu.
Penduduk berkata, tentera Israel melancarkan sekurang-kurangnya 10 serangan udara di Jenin dengan asap berkepul-kepul dilihat dari serpihan bangunan.
Adakah tentera rejim menggunakan teknologi AI dalam serangan mereka di Jenin baru-baru ini?
Ini kerana terdapat beberapa berita siasatan yang mendakwa rejim haram dalam menguji kecanggihan teknologi peperangan AI telah menjadikan penduduk dan pejuang Palestin sebagai medan ujian produk baharu mereka.
Walaupun tiada bukti tentera rejim haram menggunakan teknologi perang AI melalui UAV ke atas Jenin, namun dalam serangan ke atas Gaza pada 2021 Israel telah menggunakan teknologi AI dalam menangkis serangan roket Hamas dan pejuang Palestin lain.
Sistem AI digunakan dalam mengenal pasti para pemimpin dalam unit roket Hamas dan berjaya membunuh beberapa pemimpin utamanya.
Bahkan pakar-pakar perang AI menyifatkan medan perang di Gaza sebagai perang AI pertama dengan berjaya mengumpul data, menganalisis dan mencipta model geografi 3D yang dibantu oleh imej satelit bagi menentukan senjata yang sesuai untuk digunakan dan melancarkan serangan tepat di kawasan bersasar di Gaza.
Walaupun tentera tidak memperinci kaedah serangan atau menyebut menggunakannya tetapi serangan tepat yang mereka lancarkan di khemah pelarian di Jenin dengan mensasarkan sel pejuang Palestin dan memusnahkannya di kawasan tertentu.
Di samping itu, serangan tepat itu mengakibatkan kematian orang awam yang tinggi, menunjukkan modus operandi yang sama dalam serangan ke atas Gaza.
Dengan menggunakan teknologi serangan tepat bantuan AIn tentera rejim haram Israel sudah tidak peduli atau memandang enteng serangan roket pejuang Palestin Hamas atau Jihad Islam.
Ini kerana selepas serangan itu, dengan bantuan AI mereka dengan mudah dan tepat dapat mengetahui bukan sahaja lokasi roket dilancarkan malah mengetahui kedudukan unit dan di mana ketua pejuang itu berada.
Di samping menyerang penduduk dan pejuang Palestin, ia juga adalah produk baharu teknologi persenjataan Israel menggunakan dron dengan bantuan AI yang diuji di Gaza dan Tebing Barat.
Penduduk dan pejuang Palestin dijadikan tikus makmalnya dan jika ia berjaya mereka akan menjualnya kepada negara yang berminat.
Tidakkah dunia Islam peka dengan situasi ini?
Selain Iran, Turki dan Rusia, Israel telah disenaraikan sebagai negara yang utama dalam menghasil dan memajukan dron tentera menggunakan teknologi AI.
Pada Mei tahun ini, timbalan ketua tentera rejim haram, Eyal Zamir memberitahu bahawa dengan kepakaran dalam pengetahuan tinggi dalam teknologi AI, Israel dapat menjadi kuasa besar AI yang menumpu khususnya dalam peperangan kawalan jauh atau automatik dan serangan konvensional yang bersasar.
Apa yang membimbangkan, penduduk dan pejuang Palestin di wilayah Gaza dan Tebing Barat (termasuk Baitulmaqdis dan Jenin) menjadi bahan ujian senjata teknologi AI bagi tentera rejim haram Israel dalam memastikan keberkesanan penggunaan senjata tersebut.
Mereka sedang memprojeksi perang masa depan kepada negara berminat untuk membelinya.
Perkara ini dapat dilihat di Ukraine juga apabila tentera Russia telah menggunakan drone kuasa AI ke atas tentera Ukraine.
Pada masa yang sama tentera Ukraine juga telah menggunakan AI bagi membantu mereka dalam pengumpulan maklumat risikan dan pertahanan udara.
Tentera Ukraine telah menggunakan teknologi pengimejan berasaskan AI dan perisian pengenalan wajah bagi mengenal pasti tentera Russia yang mati menerusi profil di media sosial.
Beberapa syarikat di negara maju sedang memajukan teknologi pesawat bergerak sendiri dengan keupayaan terbang, mengesan, memantau dan menyerang lokasi sasaran musuh tanpa penglibatan tentera konvensional.
Ini menimbul persoalan mengenai tanggungjawab kemanusiaan. Keadaan yang berlaku di Gaza pada 2005 dan 2021, dan di Jenin juga baru-baru ini dalam penggunaan dron menunjukkan tentera rejim haram Israel telah mengurangkan penggunaan tentera konvensional (digunakan serangan penting seperti menangkap sasaran penting) dan sasaran kawasan tertentu setelah mendapat maklumat dron dan AI.
Ini menunjukkan mereka sudah mula menggunakan serangan ganas tidak berperikemanusiaan atau disebut `Digital Dehumanisation’ secara automatik.
Di Gaza misalnya tanpa kehadiran fizikal, tentera rejim haram Israel dapat mengawal dan memantau sejumlah 2.3 juta penduduk Palestin di sana melalui set algoritma di skrin komputer Kementerian Pertahanannya.
Rejim haram ini dapat mengerakkan pelan serangan ketidakkemanusiaan secara digital atau kegananasan digitalnya tanpa belas kasihan. Corak serangan seperti ini dikesan ke atas Gaza sejak 2016 lagi.
Malah dengan penuh rasis dan kegilaan membunuh, teknologi keganasan dan kekejaman digital dapat dilakukan dengan sentuhan jejari di papan kekunci. Prasarana algoritma dapat digunakan dengan mudah tanpa rasa belas kasihan dan tiada lagi nilai kemanusiaannya.
Jika dijejaki sejak 1948 lagi penduduk dan pejuang Palestin telah dikuasai oleh lapisan demi lapisan pemantauan oleh rejim pengganas Israel.
Sistem yang menyerupai konsep “Panopticon”, penjara kaca cetusan teori Jeremy Bentham 200 tahun dahulu melalui suatu mekanisme kawalan secara psikologi, fizikal dan sosial.
Situasi ini juga menyamai paparan dalam novel karya George Orwell pada 1984 di mana “Big Brother” melalui kawalan teknologi visual akan memantau manusia di serata dunia yang antaranya sudah menjadi realiti melalui CCTV.
Keadaan yang sama sedang berlaku semasa saya pergi ke sana pada 2015, dengan kehadiran belon-belon putih di langit Gaza yang merupakan belon perisikan memantau kegiatan penduduk di sana.
Dalam era digital, tentera rejim haram telah memperluaskan penjejakan kegiatan dan pergerakan penduduk dan pejuang Palestin sehingga kepada kehidupan peribadi mereka secara fizikal dan maya dengan menggunakan teknologi pemantauan canggih.
Ia dipermudahkan dengan adanya prasarana Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang membuat kawalan dan pemantauan ke atas wilayah-wilayah Palestin. Palestin bukan sahaja menjadi penjara fizikal tetapi ia adalah penjara digital panopticon yang disebutkan secara teori oleh Bentham yang kini menjadi realiti.
Selain belon-belon pemantauan udara dan dron yang memantau 24 jam sehari di Gaza, ribuan kamera CCTV di pasang di Baitulmaqdis dan Tebing Barat, sesetengahnya disambungkan ke pelayan-pelayan komputer yang dapat menganalisis data sebagai apartheid biometrik.
Bukan ini sahaja, rejim haram juga menjalankan teknologi pengesanan wajah ke atas setiap penduduk Palestin yang melalui pusat pemeriksaan di Hebron, mereka akan diimbas dan wajah mereka dimasukkan ke dalam pangkalan data besar tanpa persetujuan penduduk. Ini seolah-seolah menunjukkan berlaku dasar apartheid digital melalui apartheid biometrik.
Mungkin tiada fakta untuk dibuktikan dalam serangan di Jenin tetapi dunia Islam harus peka dengan perkembangan terbaharu ini, di mana keganasan dan kekejaman dalam serangan ke atas penduduk Palestin bukan sahaja berlaku secara fizikal dan konvensional dan tetapi ia telah memasuki ruang maya
Keganasan dan kezaliman digital serta proses digitalisasi secara ketidakperikemanusiaan sedang pesat berlaku di wilayah Palestin saat dan ketika ini.
Dasar apartheid digital melalui kaedah biometrik sedang rancak dilaksanakan.
Mereka sedang merancang menghapuskan dan membunuh pejuang Palestin dan menghambakan penduduk Palestin secara senyap dengan bantuan teknologi AI.
Secara senyap-senyap, rejim haram Israel sedang melakarkan geopolitik digital ke atas bumi Palestin.
Dunia dan pemimpin Islam harus peka akan perkembangan ini terutamanya apabila penduduk dan pejuang Palestin menjadi tikus makmal bagi rejim haram Israel mempromosi produk teknologi perang mereka untuk dijual dan menyuarakannya secara rasmi di peringkat antarabangsa. – 10 Julai 2023.
* Ismail Hashim Yahaya, pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen