SERAMAI 20 kakitangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menyiasat pengerusi mereka Rahmat Mohamad atas dakwaan diskriminasi kaum dan salah guna kuasa.
Gesaan itu dikemukakan kepada Azalina menerusi surat bertarikh 18 Mei lalu.
“Kami berharap menteri (Azalina) dapat mengambil tindakan sewajarnya supaya imej dan kredibiliti Suhakam juga kerajaan terpelihara.
“Kami bimbang sekiranya perkara ini tidak ditangani akan menjejaskan reputasi Malaysia sebagai pejuang hak asasi manusia dan anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” kata mereka dalam surat yang dilihat The Malaysian Insight.
Kakitangan terbabit mengadu mengenai tindakan Rahmat dan seorang pesuruhjaya Suhakam yang bersifat perkauman.
Nama pesuhjaya berkenaan disebut dalam surat kepada Azalina.
“Tindakan mereka bercanggah dengan undang-undang, dasar kerajaan dan prinsip hak asasi manusia.”
Rahmat sebelum ini dilapor memfailkan saman fitnah terhadap seorang pegawai kanan suruhanjaya itu pada Mei susulan aduan terhadapnya berhubung dakwaan diskriminasi kaum dan salah guna kuasa.
Tindakan Rahmat dikritik pertubuhan masyarakat sivil, selepas Suhakam didedah akan merujuk aduan tersebut ke Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.
Pada 16 Jun lalu, The Malaysian Reserve melaporkan Rahmat akan menarik balik saman fitnah terhadap pegawai kanan berkenaan.
Suhakam dipetik portal itu sebagai berkata saman yang difailkan pada 28 April lalu itu bukan kerana aduan kakitangan suruhanjaya tersebut, tetapi ekoran fitnah yang disebarkan sebelum aduan rasmi difailkan.
Bagaimanapun, sumber memberitahu The Malaysian Insight aduan pegawai kanan Suhakam itu berkenaan tindakan Rahmat mencampuri dan memanipulasi proses temuduga di Suhakam, dan rancangan beliau untuk menggantikan tiga pegawai kanan bukan Melayu dengan pegawai Melayu.
Sumber juga berkata Rahmat belum menarik balik saman tersebut.
“Pada pengurusan kes baru-baru ini, pengerusi menarik balik saman dengan kebebasan untuk memfailkan semula saman baharu. Jadi pengurusan kes ditetapkan pada 18 Ogos,” katanya.
Kat sumber itu lagi, surat daripada kakitangan Suhakam kepada Azalina menyebut aduan asal pegawai kanan terbabit terhadap Rahmat dibuat pada 23 Mac.
Sehari kemudian, aduan pegawai itu dirujuk kepada pesuruhaya bahagian aduan, yang akhirnya memutuskan satu siasatan dalaman perlu dijalankan bagi menyiasat aduan tersebut.
Pada 10 April, sepucuk surat memohon maklum balas telah diserahkan kepada pesuruhjaya berkenaan dan Rahmat.
Pegawai kanan terbabit sebaliknya menerima notis tuntutan saman dari peguam yang mewakili Rahmat pada 17 April.
Sumber juga berkata peguam Rahmat turut menghantar surat kepada Suhakam, meminta pengadu, pesuruhjaya bahagian pemantauan dan pegawai penyiasat menghentikan siasatan dalaman terhadap pengerusi suruhanjaya itu.
“Mesyuarat tertutup yang dipengerusikan Rahmat pada 9 Mei memutuskan Suhakam tidak boleh menyiasat aduan terhadap beliau kerana terdapat konflik kepentingan, selain ia adalah isu dalaman.
Kakitangan Suhakam yang menulis surat kepada Azalina mendakwa Rahmat cuba menakut-nakutkan pegawai kanan yang membuat aduan itu.
“Kami panjangkan perkara ini kepada perhatian menteri (Azalina) dan berharap tindakan sewajarnya akan diambil kerana situasi ini begitu membimbangkan,” kata mereka.
Sementara itu, Rahmat dilaporkan media sebagai berkata “tiada apa yang hendak disembunyikan”, dan beliau bersedia untuk disiasat oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.
Beliau turut mendedahkan telah menarik balik saman fitnah pegawai kanan Suhakam yang memfailkan aduan dalaman terhadapnya.
“Saya telah tarik balik saman itu untuk memberi laluan kepada siasatan bebas ini.
“Saya mahu ini sebagai isyarat bahawa saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Biarkan ia terbuka. Biarkan mereka menyiasat sama ada apa yang dikatakan terhadap saya itu benar atau sebaliknya,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
The Malaysian Insight telah menghubungi Azalina untuk mendapatkan komen. – 10 Julai 2023.
Komen