Putrajaya komited kepada pelan pemulihan Felda, kata MoF


Putrajaya mengulangi komitmen kepada pelan pemulihan Felda termasuk pelupusan hutang peneroka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2023.

KERAJAAN komited memastikan pelan pemulihan Felda termasuk pelupusan hutang peneroka disusuli dan langkah susulan untuk menyempurnakan pelaksanaannya, kata Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.

“Berkaitan ini, kerajaan sudah meluluskan jaminan kerajaan sehingga RM9.9 bilion untuk Felda mengeluarkan sukuk.

“Bermula tahun ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda yang antara lainnya membiayai hapus kira hutang peneroka,”kata kementerian.

Penjelasan itu dikeluarkan susulan dakwaan dibuat bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang Anwar Ibrahim menipu dalam isu pelupusan hutang peneroka.

Beliau mendakwa pentadbiran Perikatan Nasional yang diterajuinya sudah melupuskan hutang tersebut pada 2021.

Anwar yang juga menteri kewangan bagaimanapun menafikan dakwaan Muhyiddin, berkata yang beliau baharu sahaja menandatangani kelulusan pelupusan hutang pada hujung bulan lepas.

“Saya baru signed (tanda tangan) akhir Jun, menteri kewangan signed kelulusan ini. Jadi kamu dah selesai tahun 2021 bagaimana, selesai di mana?” katanya.

Tambah Anwar lagi walaupun ada perjanjian dibuat kerajaan terdahulu tetapi ia tidak dilaksanakan.

“Memang ada persetujuan dulu, tapi tak selesai. Belanjawan 2021 Perikatan Nasional (PN), 2022 PN tidak ada peruntukan untuk menyelesai dan meluluskan hutang Felda.

“I stand by this record hanya dalam Belanjawan Madani 2023 saya serahkan RM990 juta peruntukan awal untuk melupuskan hutang peneroka Felda yang jumlahnya RM8.3 bilion,” katanya. – 9 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen