MAHKAMAH Sesyen hari ini menolak permohonan Jabatan Peguam Negara (JPN) untuk memanggil bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abd Malek Hussin kerana gagal membayar denda sebanyak RM70,000 lapan tahun lalu.
Abd Malek yang gembira dengan keputusan itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa Hakim Yong Zarida Sazali membatalkan saman tersebut kerana plaintif dan wakil dari JPN gagal menghadirkan diri di mahkamah hari ini.
“Mereka tak datang,” kata aktivis Reformasi itu.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada hakim melalui Twitter.
Abd Malek mengheret pihak polis dan kerajaan Malaysia ke mahkamah kerana menahannya di bawah ISA selama 57 hari dan didera oleh polis selama ditahan.
Beliau ditangkap oleh pegawai-pegawai Cawangan Khas kerana menganjurkan satu perhimpunan bagi pembebasan bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim di Masjid Negara pada 15 September 1998.
Dalam satu keputusan penting pada 2007, Mahkamah Tinggi menganugerahkan Abd Malek RM2.5 juta pampasan atas penahanan yang tidak mengikut undang-undang dan serangan polis yang diterimanya.
Bagaimanapun, pada 2010, Mahkamah Rayuan membatalkan penghakiman tersebut dan meminta Abd Malek membayar kos litigasi sebanyak RM50,000. Pada tahun yang sama, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Abd Malek untuk rayuan dan memerintahkannya membayar RM20,000 kepada defendan.
Selepas hampir lapan tahun, Abd Malek hari ini dipanggil ke Putrajaya untuk membayar RM70,000.
Abd Malek yang merupakan seorang pegawai kakitangam di pejabat parlimen pembangkang sejak 2008, terkejut apabila menerima sepucuk surat bertarikh 12 Mac dari peguam negara.
Peguam hak asasi manusia, Syahredzan Johan memberitahu The Malaysian Insight bahawa terdapat had undang-undang enam tahun bagi menguatkuasakan penghakiman sivil.
“Untuk menguatkuasakan selepas enam tahun, (JPN) mesti mendapatkan permohonan dari mahkamah.” – 26 Mac, 2018.
Komen