Anwar digesa tetapkan tarikh anggota Kabinet isytihar harta


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika mengumumkan senarai Kabinet di bawah pentadbirannya pada 3 Disember lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Julai, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim sepatutnya menetapkan tarikh akhir untuk menteri dan timbalannya mengisytiharkan harta, kata presiden Transparency International-Malaysia Dr Muhammad Mohan.

Mohan memberitahu The Malaysian Insight pengisytiharan itu sepatutnya berlaku tiga hingga empat bulan selepas kerajaan dibentuk.

“Tetapi ia boleh difahami, kita boleh terima jika ia dilakukan selepas tujuh bulan memerintah dan kita harap perdana menteri boleh menetapkan tarikh akhir untuk mereka mengisytiharkannya,” katanya.

Tegas Mohan, pengisytiharan itu kemudiannya mesti disiarkan di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh lima tahun.

“Selagi mereka menjadi kerajaan, pengisytiharan itu mesti ada di laman sesawang sehingga kerajaan bertukar.

“Kita tidak mahu ia menjadi seperti pentadbiran sebelum ini yang mana pengisytiharan itu berada di laman sesawang bagi tempoh tiga bulan sahaja. Orang ramai sepatutnya boleh mengaksesnya selagi mereka (menteri dan timbalan menteri) memegang jawatan itu.

“Perkara lain adalah dalam pengisytiharan itu, ia mesti dinyatakan dengan jelas berapa banyak yang mereka miliki. Jika seseorang mempunyai aset bernilai RM100 juta, ia perlu dinyatakan RM100 juta.”

“Ia tidak boleh ‘lebih daripada RM10 juta’. Apakah maksudnya? RM20 juta, RM30 juta? Ia mesti tepat,” tegasnya.

Anggota Kabinet Anwar Ibrahim perlu mengisytiharkan harta mereka demi ketelusan dan tadbir urus yang baik. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 9 Julai, 2023.

Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini mengkritik Kabinet Anwar atas dakwaan mereka gagal mengisytiharkan harta.

Membuat ciapan di Twitter, ahli Parlimen Muar itu mempersoalkan mengapa ia berlaku sedangkan kerajaan perpaduan sudah memerintah selama tujuh bulan.

“Saya tanya hanya satu soalan mudah. ​​Mereka berkuasa selama tujuh bulan. Mengapa anggota Kabinet tidak mengisytiharkan harta mereka?

“Ini mengenai tadbir urus yang baik #PolitikBaru.

“Ini sudah menjadi amalan sejak 2018. Malah dikongsi secara terbuka melalui laman sesawang SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Mengapa dasar ini dihentikan? Apa yang perlu disembunyikan?” ciapnya.

Pada 2019, Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu perdana menteri, mengumumkan semua anggota pentadbiran termasuk menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada perdana menteri. – 9 Julai, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen