SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke mengingatkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan supaya tidak mencampuri urusan parti politik lain.
Ia susulan dakwaan Wan Saiful sebelum ini ada usaha menggantikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dengan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim.
“Wan Saiful setiausaha agung DAP ke? Saya tanya, adakah dia setiausaha agung DAP dia boleh tentukan calon kita?
“Jadi tak payahlah nak jaga tepi kain orang, dia sibuk dengan hal dia sendiri,” kata Ahli Parlimen Seremban itu kepada pemberita, hari ini.
Wan Saiful mendakwa terdapat khabar angin kononnya Steven Sim akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada PRN ini supaya dapat dinamakan sebagai ketua menteri jika menang kerusi itu.
“Ini untuk beliau jadi ketua menteri sebab dia (Chow) gagal pimpin negeri.
“Siapa pun jadi ketua menteri, saya percaya rakyat Pulau Pinang tahu DAP tetap akan jadi DAP,” dakwa Saiful.
Ketika berucap pada kempen di Jerlun, Kedah, Wan Saiful turut mendakwa rancangan pertukaran ketua menteri membawa perpecahan dalam DAP.
DUN Pulau Pinang dibubarkan 28 Jun lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri pada 12 Ogos ini bagi Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Minggu lalu, Chow berkata lima panel akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskan calon DAP bagi PRN Pulau Pinang.
Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang itu berkata panel tersebut sudah selesai menemuduga kesemua penyandang bagi kerusi DUN Pulau Pinang dan senarai itu akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP untuk dipertimbangkan. – 8 Julai, 2023.
Komen