Cuepacs gesa beri kelulusan segera pasukan kaji skim gaji


Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata pihaknya berharap suatu tempoh masa tidak terlalu lama ditetapkan bagi pasukan itu memberikan dapatan berdasarkan kajian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap Jemaah Menteri dapat memberikan kelulusan segera cadangan untuk memulakan pasukan yang akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam.

Presiden Cuepacs Adnan Mat dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya berharap suatu tempoh masa tidak terlalu lama ditetapkan bagi pasukan itu memberikan dapatan berdasarkan kajian.

“Tempoh masa itu tidak boleh terlalu panjang supaya ia relevan dengan situasi persekitaran ekonomi semasa yang sentiasa berubah dengan mendadak. Apatah lagi peningkatan kos sara hidup yang begitu ketara ketika ini dan semua pihak terkesan dengan bebanan kos itu.

“Cuepacs juga sedia untuk bersama dengan pasukan ini bagi memberikan pandangan yang wajar dari sudut pandang warga pekerja. Ia bagi memastikan syor yang dikemukakan nanti diterima oleh penjawat awam yang merupakan penerima manfaat,” katanya.

Beliau berkata sebelum ini, Cuepacs mencadangkan kesesuaian gaji minimum perkhidmatan awam adalah RM1,800 dalam menjamin kehidupan golongan penjawat awam supaya dapat menjalani kehidupan dalam keadaan sedikit selesa dengan kenaikan kos sara hidup.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mengkaji semula skim gaji perkhidmatan awam di seluruh negara, dengan perbincangan mengenainya dibawa ke dalam mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

Adnan memaklumkan, antara cadangan Cuepacs bagi skim baharu gaji perkhidmatan awam adalah kenaikan gaji tahunan yang perlu ditambah baik ke RM180, kenaikan pangkat Jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) pertama 10 tahun dan KUP kedua, 8 tahun serta gred minimum perkhidmatan awam bermula gred 19.

Selain itu, peningkatan gred untuk Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir (PTPO) dan Pembantu Tadbir Kewangan ke Gred 29, sistem saraan perlu dikaji setiap 5 tahun, peningkatan elaun bantuan sara hidup (COLA), menambah imbuhan tetap perumahan kepada RM450 serta memperkenalkan elaun bandar raya sebanyak RM500. – Bernama, 8 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen