Sebelum semua berakhir


Hishamuddin Rais

Krisis perubahan iklim kini semakin memuncak, menimbulkan kegusaran terhadap nasib manusia dalam dekad mendatang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

KITA telah diberi pencerahan bahawa perubahan iklim dan pemanasan dunia hari ini adalah hasil kerja tangan kita sendiri. Kita sendiri ini adalah kita umat manusia.

Umat manusia anak semua bangsa. Bangsa dari semua negara. Umat manusialah penyebab yang membawa malapetaka iklim yang kita hadapi sekarang

Bumi kita makin panas. Kebakaran di sana sini. Sungai, tasik, kolam dan salji di gunung menjadi kering. Kemarau membawa kebuluran. Kebuluran membawa orang pelarian.

Kerbau lembu kambing ayam itik binatang ternakan mati dahaga. Mati bergelimpangan di sana sini.

Ratusan ribu pelarian iklim cuba menyelamatkan diri dari malapetaka alam.  Mereka berpindah randah mencari wilayah dan mukim yang lebih selamat dari bahang mata hari yang membakar.

Mereka bergerak beramai-ramai mencari mukim dan wilayah yang ada punca air. Mencari air untuk diminum, air untuk binatang ternakan.

Ratusan ribu umat manusia pelarian iklim berpindah dari wilayah asal ke wilayah asing. Meninggalkan tanah tumpah darah – tanpa pasport tanpa visa – meredah untuk mencari bumi subur agar dapat bercucuk tanam. Untuk memulakan hidup baru.

Apa yang saya tulis ini bukan tanda-tanda kiamat telah sampai. Saya bukan pembawa ayat-ayat syaitan yang menakutkan. Saya hanya berniat ingin memberi pencerahan.

Pencerahan yang saya tulis adalah dari apa yang saya dengar, apa yang saya baca dan apa yang saya tonton. Semua ini manifestasi malapetaka iklim. Semua sedang terpampang di hadapan mata.

Dari kitab-kitab kuno, dari kitab suci kita membaca bagaimana Nabi Noh dilanggar banjir. Kita mendengar surah-surah bagaimana kota Thamud hancur dipukul oleh debu padang pasir. Atau kota Thonis di Mesir tenggelam disedut ke perut laut.

Kitab-kitab suci menyatakan bahawa kota-kota ini musnah kerana melanggar hukum Tuhan.

Kali ini dalam kurun ke-21 di zaman pasca moden di mana meta naratif telah diketepikan. Kita bukan lagi melanggar ajaran Nabi atau ingkar perintah tuhan. Kemusnahan ini sampai kerana kita umat manusia sedang melanggar bukan hukum Tuhan tapi melanggar hukum alam.

Bumi dan alam kita ini berjalan dan bergerak dengan sistem dan putaran yang tersusun rapi. Dari kajian ilmiah semua yang wujud di bumi ini – walau pun sebesar zarah – ada memiliki peranan masing-masing.

Hukum dan syarat wujudiah kita di bumi ini adalah hasil evolusi yang telah berjalan berbilion tahun.

Kita bukan lagi melanggar ajaran Nabi atau ingkar perintah tuhan. Kemusnahan ini sampai kerana kita umat manusia sedang melanggar bukan hukum Tuhan tapi melanggar hukum alam.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

Dari Big-Bang – ledakan pertama – kun fayakun – jadilah jadi – berbilion tahun dahulu – dari setitik atom kita telah berevolusi untuk menjadi bumi, cakerawala, bintang dan alam semesta.

Pokok kayu-kayan hutan belantara, binatang, hidupan dan umat manusia adalah hasil evolusi. Dari proses evolusi kita jadi kita seperti yang wujud hari ini.

Tamadun moden manusia telah mewujudkan kota London, kota Paris, Berlin, Shanghai, Cairo, Mumbai, Jakarta, Singapura, Beirut, New York atau Kuala Lumpur yang di dalamnya ada Brickfields tempat saya bercanda-canda.

Dunia dan alam ini bersama kota-kota yang indah wujud untuk kita singgahi. Kita singgah sebentar  sebagai penumpang transit. Kita membonceng untuk sementara waktu di bumi yang indah ini.

Bumi dan mukim yang kita pijak ini bukan milik kita. Bumi ini kita pinjam dari anak cucu-cicit kita.

Bayangkan bumi yang indah ini akan termusnah. Tanpa kita sedari kitalah yang bertanggungjawab memusnahkan apa yang kita ada hari ini.

Semua kota-kota dan tamadun moden yang penuh dengan bangunan pencakar langit akan musnah seperti Thamud, seperti kota Pompeii, seperti kota Sodom dan Gemorrah.

Kemusnahan kota dulu-dulu kerana ingkar dengan perintah Tuhan. Kemusnahan yang akan kita terima hari ini bukan kerana ingkar perintah Tuhan tapi umat manusia sedang melawan alam semula jadi.

Manusia melawan alam – homo sapiens versus the earth – inilah yang membawa kemusnahan.

Maka kita bertanya: Jika begini keadaan apa yang wajib dilakukan?

Apa yang wajib dilakukan ialah persoalan induk. Jawapan dari persoalan akan merungkai untuk membawa kita mencari jalan keluar dari malapetaka yang maha sangat ini.

Saya yakin kita umat manusia  memiliki fikrah. Upaya dari fikrah ini akan memungkinkan kita  membuat sesuatu untuk selamat dari malapetaka ini.

Bayangkan bumi yang indah ini akan termusnah. Tanpa kita sedari kitalah yang bertanggungjawab memusnahkan apa yang kita ada hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

Kita sedar kita penyebab justeru kita wajib bertindak. Tindakan ini terbahagi kepada dua cara.

Cara pertama: Cara individu persendirian.

Cara kedua: Cara kolektif berkumpulan.

Pencerahan yang kita terima ini seharusnya menjadi pemangkin untuk ini mewajibkan kita sebagai sosok untuk mengambil langkah bersendirian.

Kita sendirian boleh melakukan tanpa memerlukan orang lain.

Kita mula kurangkan penggunaan plastik. Gunakan pengangkutan awam. Kurangkan pembakaran bahan bakar fosil. Kitar semula botol-botol plastik. Ketika dibuang masukkan ke dalam tong yang menerima plastik untuk dikitari semula.

Jika bercucuk tanam cuba elakkan penggunaan bahan kimia untuk baja atau untuk melawan serangga.

Jangan kita racuni bumi kita ini. Meracun serangga bermakna meracun diri kita juga kerana racun itu tidak musnah. Akhirnya racun itu akan sampai juga ke meja makan kita.

Kurangkan keberahian untuk memiliki itu dan ini. Nikmati apa yang sedia ada. Kebahagiaan bukan mengumpul. Berahi tidak ada sempadan. Berahi tidak ada noktah.

Dengan penuh kesedaran kita wajib menjadi pengguna jenis baru. Pengguna yang memiliki kesedaran tentang alam sekitar.

Cara kedua: Cara berkelompok, kolektif dan berkumpulan. Apakah kita telah lupa akan konsep bergotong-royong? Apakah kita telah lupa konsep berseraya?

Tamadun moden manusia telah mewujudkan kota London, kota Paris, Berlin, Shanghai, Cairo, Mumbai, Jakarta, Singapura, Beirut, New York atau Kuala Lumpur.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

Dengan penuh kesedaran untuk menyelamatkan bumi ini kita bantu membantu – ingat mengingat. Kita tidak ada jalan lain. Sikap individualisme – jadi enau dalam belukar – tidak akan menyelamatkan bumi ini.

Memang kesan kerja berseorangan dengan berkumpulan jauh bezanya. Dampak apa yang kita lakukan akan lebih berkesan jika seluruh kampung, seluruh daerah. Seluruh negeri – membuat perkara yang sama.

Tolak penggunaan beg plastik. Pulaukan kedai yang tidak menggunakan cawan kaca atau tembikar. Hanya masuk ke rumah makan di mana pinggan mangkuk cawan yang boleh diulang pakai. Bawa mangkuk sendiri ketika tapau. Bawa balang, bekas, kerpai atau bakul sendiri ketika membel-belah di pasar.

Ingat banjir ingat plastik. Ingat plastik ingat kemarau. Ingat kemarau ingat pemanasan dunia.

Bayangkan jika seluruh warga Malaysia mengambil sikap sedemikian.

Saya juga yakin apa yang saya cadangan untuk kita lakukan ini tidak akan memberi dampak yang besar. Anggap ini tidak salah.

Tapi kesedaran dan apa yang kita lakukan ini bukan hanya dilakukan di Kuala Lumpur, di Ipoh atau di Malaysia. Perkara yang sama wajib dilakukan juga di New York, London, Paris, Dhaka atau Shanghai.

Hakikatnya dari Mumbai ke Moscow, dari Karachi  ke Kathmandu dari Perth ke Port Moresby, dari Jepun ke Jamaica, dari Brazil ke Bhutan – malah umat manusia  diseluruh dunia wajib mengamal sikap yang sama.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres telah berkali-kali memberi ingatan. Pada 23 Mac 2023 dia berkata:

“Setiap tahun tindakan yang tidak mencukupi untuk mengekalkan pemanasan global di bawah 1.5 darjah Celsius mendorong kita lebih dekat ke jurang, meningkatkan risiko sistemik dan mengurangkan daya tahan kita terhadap bencana iklim.”

Ingat banjir ingat plastik. Ingat plastik ingat kemarau. Ingat kemarau ingat pemanasan dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2023.

Pada 29 Mac 2023 para saintis iklim terkemuka mengeluarkan laporan penilaian akhir mereka tentang perubahan iklim, mengisytiharkan ini adalah peluang terakhir untuk mengehadkan pemanasan global yang disebabkan oleh manusia kepada 1.5 C di atas paras praindustri sebelum kerosakan menjadi tidak dapat dipulihkan.

Membaca kenyataan para saintis iklim ini saya menjadi risau dan takut. Dalam ketakutan dan kerisauan ini saya wajib bertindak. Bukan tindakan bersendirian tapai secara kolektif, secara  beramai-ramai.

Warga dunia tahu penjenayah utama pemanasan dunia hari ini ialah syarikat minyak. Syarikat minyak – mencari gali tenaga fossil – untuk menjadi bahan bakar – adalah penyebab utama dunia jadi panas.

Syarikat gergasi multinasional – seperti Shell, Esso, BP, Aramco – adalah penyebab dunia jadi panas. Syarikat ini amat degil dan berdolak-dalik dalam usaha untuk melawan pemanasan dunia.

Dengan dana syarikat minyak membayar saintis untuk mengeluarkan kajian molek yang berupaya  melapik jenayah syarikat minyak.

Dengan dana yang lumayan syarikat minyak membeli pengaruh di tampuk kuasa. Mereka melobi politikus dalam Dewan Kongres Amerika, dalam Parlimen United Kingdom, dalam National Assembly Perancis. Di negara Dunia Ketiga seperti di Nigeria mereka membeli seluruh negara. Ini hakikat kuasa syarikat minyak.

Yang perlu dilobi akan dilobi. Yang perlu dirasuah akan diberi dolar. Gali terus gali.

Hakikatnya sistem ekonomi dunia kita ini – sistem kapitalis – dipasak oleh syarikat minyak. Sistem kapitalis inilah yang membawa malapetaka iklim hari ini.

Apakah kita tidak ada jalan keluar?

Jawabnya ada. Dunia ini milik anak semua bangsa. Dunia ini milik bangsa semua negara. Maka kita wajib bangun bersama-sama beramai-ramai menuntut penggalian bahan tenaga fosil ini dikurang dan akhirnya dihentikan.

Hakikatnya sistem ekonomi dunia kita ini – sistem kapitalis – dipasak oleh syarikat minyak. Sistem kapitalis inilah yang membawa malapetaka iklim hari ini. – Gambar AFP, 8 Julai, 2023.

Tenaga penggerak baru dalam tamadun baru manusia ialah cahaya matahari. Kuasa matahari adalah Tuhan Ra yang disembah oleh Mesir Kuno. Tenaga solar wajib menjadi jawapan kepada kita semua.

Jika syarikat minyak terus berdegil, jika politikus terus tak ambil pot, dunia makin terbakar maka masanya telah sampai untuk kita bergotong royong menghumbankan politikus ke dalam tong sampah sejarah.

Kita memilih dan melantik politikus baru yang faham tentang malapetaka iklim dan akan bertindak melawan malapetaka iklim.

Bila politikus berubah maka pengaruh syarikat minyak akan mengendur. Jika politikus dan syarikat minyak bersekongkol maka kita wajib turun ke jalan raya.

Bila seluruh warga dunia – dari Dubai ke Delhi, dari London ke Los Angles, dari Peking ke Panama dari Toronto ke Timbaktu, dari Melbourne ke  Marseilles – semua turun ke jalan raya – saya yakin dunia kiat ini dapat diselamatkan, Amin. – 8 Julai, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen