PELAJAR latihan amali di sesebuah syarikat sepatutnya berhak menerima gaji pokok kerana mereka dikehendaki melaksanakan tugas yang sama seperti pekerja biasa lain, kata sebuah parti politik dan persatuan perniagaan.
Menurut mereka, pelatih berkenaan harus menerima bayaran yang berpatutan kerana mereka juga meningkatkan produktiviti syarikat.
Mereka berkata demikian sebagai menjawab permintaan Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini kepada syarikat untuk mempertimbangkan alternatif lain selain menyediakan geran untuk membantu pelatih yang kebanyakannya pelajar.
“Kami berasa pelatih harus menerima gaji, ini adalah konsep apabila anda bekerja, anda harus dibayar (sekurang-kurangnya gaji minimum),” kata Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia A. Sivarajan.
“Memberi atau menyediakan penginapan, makanan dan pengangkutan sebagai ganti gaji bukanlah konsep bekerja. Apabila pelatih pergi ke syarikat, dia tidak pergi ke kelas atau kuliah.
“Tiada seorang pun dalam syarikat itu akan memberi kuliah atau mengajar, sebaliknya mereka dikehendaki bekerja, melakukan perkara yang pekerja lain lakukan.
“Ada atau tanpa pelatih mesti ada yang buat kerja, kalau tak ada intern, pekerja biasa kena buat kerja dan dia dibayar gaji, jadi bila intern buat kerja, kenapa tak dapat gaji,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sivarajan berkata jika syarikat itu tidak dapat membayar pelatih, ia sepatutnya tidak mengambil pelatih.
“Mengupah pelatih tidak wajib, tiada siapa yang memaksa syarikat mengambil pelatih jadi jika syarikat merasakan mereka tidak boleh mengupahnya, jangan terima mereka.
“Jika kamu menerima mereka, bermakna kamu mengambil dan akan menggunakan tenaga kerja mereka, oleh itu anda perlu menyediakan gaji,” kata Sivarajan.
Beliau mendedahkan PSM juga menerima pelajar sebagai pelatih dan mereka dibayar sehingga RM1,200 sebulan.
“Di PSM kami menerima mereka yang ingin menjalani latihan dengan kami dan kami bukan organisasi yang mengaut keuntungan tetapi kami masih membayar mereka RM1,200 sebulan.
“Sebelum mengambil mereka, kami akan melihat keupayaan kami tentang berapa ramai pelatih yang boleh kami ambil.
“Dalam beberapa kes kami juga menyediakan elaun.”
Beliau juga berkata syarikat juga tidak sepatutnya membayar terlalu rendah untuk pelatih. – 8 Julai, 2023.
Berita penuh di sini.
Komen