MAJLIS Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire, Ireland (UKEC) memohon maaf kepada badan sukarelawan Gabungan VoteMalaysia (VM) berhubung kenyataan pengumpulan undi pos bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang tetapi tetap dengan keputusannya meninggalkan gabungan itu.
Pengerusinya Syed Rifqi Najmuddin Syed Azidi berkata majlis itu akan menarik balik kenyataannya mengenai VM tidak telus, tidak demokratik dan mendapatkan sokongan daripada parti politik.
Syed Rifqi juga bertanggungjawab ke atas semua keputusan yang dibuat oleh UKEC.
“Dalam penjelasan (kenyataan) kami, kami mendedahkan butiran yang belum dimuktamadkan.
“Ini mengenai VM terlibat dengan parti politik dan berhasrat tidak melibatkan Kelantan dan Terengganu dalam PRN.
“Kami memohon maaf kepada VM, orang ramai dan sukarelawan atas sebarang akibat yang tidak diingini,” tulisnya di Instagram.
VM ialah inisiatif bukan partisan yang dibentuk oleh pergerakan pelajar di seluruh dunia untuk memudahkan pengundian pos pada skala global.
Pada Rabu, UKEC berkata ia menarik diri daripada VM selepas gabungan itu didakwa enggan menghantar undi pos ke negeri-negeri Pantai Timur dalam PRN akan datang.
“Pada 16 Jun, VM secara tentatif bersetuju untuk menyediakan perlindungan logistik bagi memudahkan proses pengundian pos hanya di Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.
“Negeri selebihnya, Kelantan dan Terengganu terpaksa diketepikan daripada inisiatif itu.
“Kemudian pada 24 Jun, VM membuat keputusan mendapatkan sokongan sukarela, dan tenaga kerja daripada parti politik, terutamanya dalam gabungan pemerintah Malaysia, bagi menjalankan kerja sukarela untuk VoteMalaysia.
“Keputusan ini tidak demokratik, berpihak dan tidak telus,” kata VM.
Syed Rifqi berkata mereka mengakui kenyataan itu menimbulkan keraguan dalam usaha VM menyokong undi pos.
“Bagaimanapun, UKEC menegaskan tujuan kami adalah untuk berkhidmat kepada pelajar Malaysia selaras dengan nilai dan prinsip kami.
“Kami masih berpegang teguh dengan keputusan meninggalkan gabungan itu kerana nilai kami tidak lagi sejajar dengan VM.
“Kami akan terus berkhidmat melalui cara kami sendiri.”
Semalam, VM menafikan dakwaan ia bekerjasama dengan parti politik.
“Kami akan menghantar undi ke enam negeri termasuk Terengganu dan Kelantan.” – 7 Julai, 2023.
Komen