DAP sedia jawab soalan sukar isu PJD Link, kata Rajiv


Noel Achariam

PJD Link ialah cadangan lebuh raya berkembar sepanjang 25.4km, bermula selepas Plaza Tol NKVE di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2023.

DAP bersedia untuk menangani semua isu dibangkitkan pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, termasuk berkenaan projek kontroversi pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal (PJD Link), kata Rajiv Rishyakaran.

Pengarah pilihan raya negeri DAP itu berkata beliau dan partinya tidak akan mengelak daripada menjawab soalan penduduk.

“Saya sudah pun menjelaskan isu ini kepada ramai penduduk PJ. Saya tidak akan mengelak daripada menjawab soalan ini.

“Kerajaan negeri Selangor konsisten dengan pendirian kami dan saya akan terus memberi penjelasan kepada rakyat berkenaan projek ini,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu temu bual.

Rajiv berkata walaupun pemaju PJD Link mengumumkan mereka menaikkan jumlah pembiayaan kepada RM922 juta, kerajaan negeri masih belum meluluskan projek itu.

“Tidak kisahlah jika mereka ada duit atau mereka ada kontraktor. Kelulusan masih dalam bidang kuasa kami.

“Ia tidak bermakna kami (kerajaan negeri) tertakluk kepada kelulusan untuk projek itu.”

PJD Link ialah lebuh raya berkembar (empat lorong) sepanjang 25.4km, yang akan bermula selepas Plaza Tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Rajiv berkata syarikat itu belum menepati tarikh akhirnya dan masih belum mengemukakan laporan untuk kelulusan kepada kerajaan negeri.

“Mereka menghantar laporan kepada agensi persekutuan, iaitu termasuk penilaian sosial, trafik dan alam sekitar.

“Sebaik saja semua itu selesai, ia akan dibawa kepada kerajaan negeri untuk dinilai secara terperinci.”

Adun Bukit Gasing itu berkata kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Harapan berani untuk menyemak, menilai dan menolak jika projek itu tidak cukup bagus.

“Kita pernah buat sebelum ini dan kami tidak takut untuk berkata ada sesuatu yang tidak kena dan bagaimana ia sepatutnya dilakukan.

“Syarikat lain ada juga menghantar kerts cadangan (untuk projek lain), jadi PJD Link bukan satu-satunya cadangan lebuh raya di negeri ini.”

Rajiv berkata setiap kali Selangor  berdepan situasi membabitkan projek mega, kerajaan negeri ada proses dalaman sendiri sementara pemaju perlu mendapatkan kelulusan kerajaan persekutuan dan memenuhi syarat lain.

“Ia kemudian akan dibawa ke kerajaan negeri di mana projek berkenaan akan dinilai.

“Kerajaan negeri tidak takut untuk menolak projek yang tidak layak.”

Merujuk kepada Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dibatalkan pada 2015, Rajiv berkata projek itu dinilai, dipertikaikan dan menunjukkan ia tidak akan membantu aliran trafik di Petaling Jaya. – 7 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen