Program MM2H perlu ditambah baik, titah sultan Johor


Ravin Palanisamy

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerima mengadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.– Gambar Facebook, 6 Julai, 2023.

SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar meminta Putrajaya menambah baik program Malaysia My Second Home (MM2H) bagi menarik lebih ramai warga asing melabur di negara ini.

Selepas menerima mengadap Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing, baginda bertitah kerajaan perlu memperhalusi dasar, insentif dan faedah bagi memastikan ia tidak membebankan pemohon.

“Penambahbaikan itu penting dalam menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan utama,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir pada sesi itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor Raven Kumar Krishnasamy dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultanah Fatimah, Tan Seng Leong.

Tiong berkata pada sesi itu yang berlangsung hampir dua jam, baginda berkongsi pelbagai idea dan perspektif penambahbaikan program MM2H.

“Pada pertemuan bersama DYMM Sultan Johor, Baginda telah memberikan banyak idea baik dan saya yakin idea-idea ini boleh dilaksanakan, sekaligus merancakkan ekonomi pelancongan kita,” kata Tiong.

“Saya akan berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri serta pemain-pemain industri berhubung penambahbaikan MM2H serta pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh Baginda,” katanya.

Tambahnya segala perkara yang dibincangkan akan dibawa sebagai kertas cadangan kepada Kabinet pada bulan hadapan.

Sebelum ini dilaporkan program MM2H menyaksikan penurunan 90% pemohon kerana syarat yang lebih ketat yang dikenakan.

Syarat baharu telah diperkenalkan pada 2021 kepada program MM2H, yang bertujuan menarik penduduk asing jangka panjang, selepas pembekuan semasa pandemik Covid-19.

Syarat baharu itu meningkatkan tahap kelayakan lebih daripada tiga kali ganda.

Pemohon perlu mempunyai simpanan kekal sekurang-kurangnya RM1 juta dan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta. Mereka kini juga mesti membuktikan mereka mempunyai pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, meningkat daripada RM10,000. – 6 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen