Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak terkejut Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Muhyiddin Yassin kerana ia akan melindungi kepentingan mereka.
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu baginya .
“Kelompok itu tetap akan bersekongkol untuk mempertahankan cara mereka dan harta mereka.
“Jadi, kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara tercinta,” katanya kepada pemberita hari ini selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa KWSP 2023.
Anwar mengulas mengenai pertemuan kedua-dua pemimpin pada Selasa untuk membincangkan pergerakan Proklamasi Melayu Dr Mahathir, kira-kira tiga tahun selepas Langkah Sheraton.
Dalam satu kenyataan semalam, Pengerusi Sekretariat Proklamasi Melayu Khairuddin Abu Hassan berkata pertemuan antara dua bekas perdana menteri itu memberi harapan baharu kepada masyarakat Melayu.
“Pertemuan antara kedua tokoh pemimpin melayu yang sanggup ketepikan perbedaan politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini harus diberi pujian melangit.
“Perjumpaan ikhlas antara dua tokoh pemimpin melayu ini bakal memberi semangat baru pada gerakan Proklamasi Orang Melayu,” katanya lagi.
Dalam kenyataan berasingan semalam Muhyiddin berkata semasa pertemuan itu Mahathir bersetuju untuk mengukuhkan perpaduan Melayu dan meningkatkan sokongan terhadap Perikatan Nasional khususnya dalam menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang pada 12 Ogos. – 6 Julai, 2023.
Komen