Pengembara NTL dikendali firma dilantik jawatankuasa penerbangan, kata MAHB


Ravin Palanisamy

MAHB berkata pengendalian penumpang NTL diuruskan oleh syarikat bebas yang dilantik oleh AOC KLIA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2023.

PENGENDALIAN penumpang ‘Notis Penolakan Masuk (NTL)’ diuruskan oleh syarikat bebas yang dilantik oleh Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini.

“Pelantikan itu dipersetujui dan disahkan oleh Jabatan Imigresen. Sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB menyediakan ruang yang sesuai untuk memudahkan pengendalian penumpang NTL sementara menunggu penerbangan pulang mereka,” kata kumpulan pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan hari ini.

MAHB memberikan maklum balas terhadap kenyataan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki yang berkata ejen yang didakwa meminta bayaran untuk membantu seorang warga China selepas dia dinafikan masuk ke Malaysia dikaitkan dengan sebuah syarikat yang berpangkalan di KLIA.

Beliau berkata syarikat itu diberi kontrak oleh MAHB untuk menguruskan pelancong yang menerima notis NTL sejak 2017.

SPRM sedang menjejaki ejen itu yang dipercayai warga asing. 

Azam berkata SPRM juga akan merekodkan kenyataan daripada syarikat itu dalam masa terdekat.

Awal hari ini Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata syarikat yang dilantik oleh AOC yang bertanggungjawab mengendalikan pelancong asing di KLIA sedang disiasat.

Beliau berkata wakil daripada kementerian dan MAHB mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa syarikat penerbangan yang mengambil firma tersebut. – 6 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen