Muda tidak bertanding semua kerusi di 6 PRN


Ravin Palanisamy

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata parti itu akan bertanding kurang 10% daripada 245 kerusi dipertandingkan pada PRN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2023.

MUDA akan bertanding di semua enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan, kata pengarah pilihan raya parti itu Luqman Long.

Bagaimanapun, beliau berkata Muda tidak akan meletak calon di semua kerusi hanya semata-mata untuk bertanding.

“Apa yang boleh saya katakan ialah kami tahu kekuatan kami. Jadi, kami tidak mahu letak calon hanya semata-mata untuk bertanding.

“Kami tidak mahu bertanding kerana kami tidak bersetuju atau tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan atau agenda reformasi. Kami tidak mahu buat begitu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini berkata parti itu akan bertanding kurang 10% daripada keseluruhan 245 kerusi yang dipertandingkan pada PRN kali ini.

Luqman berkata parti itu mahu memberikan pengundi calon yang berkualiti, bukannya hanya bertanding di semua kerusi.

“Sasaran saya sebagai pengarah pilihan raya Muda ialah, daripada kita hantar sebanyak mungkin calon hanya untuk tunjuk kita boleh bertanding, saya rasa lebih baik kita beri calon yang berkualiti tinggi dengan rekod baik dalam berkhidmat kepada masyarakat.

“Kami menyasarkan untuk mendapat banyak permohonan daripada ahli Muda dan masyarakat untuk bertanding di semua enam negeri.”

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan PRN di Penang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan diadakan pada 12 Ogos.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai, sementara mengundi awal pada 8 Ogos. Tempoh kempen ditetapkan 14 hari bermula 29 Julai.

Pengarah Pilihan Raya Muda Luqman Long berkata parti itu tidak akan meletak calon di semua kerusi hanya semata-mata untuk bertanding. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2023.

Sebanyak 245 kerusi akan dipertandingkan – 32 di Terengganu, 36 masing-masing di Kedah dan Negeri Sembilan, 40 di Pulau Pinang, 45 di Kelantan dan 56 di Selangor.

Muda kini mula menerima permohonan daripada calon berpotensi untuk bertanding PRN.

Luqman berkata beliau berharap untuk mengumumkan kumpulan pertama calon pada minggu ini.

“Jawatankuasa pemilihan calon akan menemubual pemohon, merujuk senarai calon yang disenaraikan kepada biro politik parti dan kemudian mereka akan membentangkan kepada presiden.

“Kami berharap akan dapat umum kumpulan pertama calon pada minggu ini, supaya orang ramai boleh berinteraksi dengan mereka,” katanya.

Luqman turut menolak dakwaan yang Muda adalah parti elit, dengan fokus lebih banyak tertumpu di kawasan bandar.

Katanya, kebanyakan kerusi ditandingi parti itu sebelum ini adalah di kawasan luar bandar.

“Kami lebih banyak bertanding di kawasan luar bandar berbanding di bandar. Contohnya, Tanjung Piai, Bukit Permai di Johor adalah kerusi luar bandar.

“Pada PRU15, Muda bertanding di kawasan luar bandar seperti Kota Marudu di Sabah, Tanjong Karang di Selangor, Masjid Tanah di Melaka dan malah Muar, di mana Syed Saddiq menang.

“Muda juga fokus kepada isu di luar Lembah Klang. Jadi, saya rasa ia adalah tanggapan salah yang Muda fokus kepada kawasan bandar,” katanya. – 6 Julai, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen