Penulis blog akui tidak tahu tarikh, harga banglo dibeli Guan Eng


Looi Sue-Chern

SEORANG penulis blog pro Barisan Nasional (BN), Mohsin Abdul Latiff, mengaku kepada Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini beliau menulis artikel yang mendakwa Ketua Menteri Lim Guan Eng menyalahgunakan kuasa untuk membeli harta, walaupun tidak mengetahui bila ia dibeli dan berapa banyak rumah yang ada.

Mohsin, yang terkenal dengan nama penanya Mamu Parpu, adalah orang pertama yang membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendakwa Lim menyalahgunakan kedudukannya untuk membeli rumahnya di Jalan Pinhorn pada harga diskaun.

Tetapi semasa disoal oleh peguam Lim, Gobind Singh Deo, Mohsin mengakui tidak mengetahui nilai banglo atau tarikh pembelian ketika membuat laporan tersebut, hanya menyatakan harta itu diperoleh pada 2008.

“Saya tidak tahu,” katanya ketika Gobind bertanya apakah beliau tahu tarikh perjanjian jual beli untuk harta itu ditandatangani.

Mohsin, 34, menjelaskan tindakan beliau itu berdasarkan laporan berita TV3 yang dilihatnya sebelum ini berhubung perbahasan antara Lim dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat, sambil menambah beliau tidak mempunyai kepentingan politik terhadap Lim.

“Itu tidak betul. Saya membuat laporan itu selepas menonton berita di TV3 mengenai perbahasan antara Lim dan Shabudin di Parlimen,” katanya, sambil menambah beliau juga menerima video rakaman berita yang sama melalui WhatsApp sebelum membuat laporan SPRM.

Gobind menegaskan Shabudin dalam laporan TV3 didengar mengatakan 2015 dalam berita, tetapi Mohsin dalam laporan SPRM pada 2016, mendakwa Lim membeli rumah itu pada 2008.

“Saya tidak ingat. Saya membuat laporan itu dua tahun lalu,” kata Mohsin.

Mohsin terus ditanya di mana beliau mendapat maklumat bagi laporan yang dibuatnya kepada SPRM.

Katanya, beliau memperolehnya daripada blog, dan mengakui tidak mengetahui butiran S&P atau nilai tanah dan harta itu, menegaskan beliau percaya Lim membeli banglo di bawah nilai pasaran.

Beliau juga mengakui tidak merujuk kepada mana-mana penilai atau pakar hartanah mengenai nilai rumah itu.

Terdahulu, penulis blog yang mengakui sering menyiarkan media sosial dengan hashtag “Kami Geng Najib”, menafikan beliau pro-BN.

Beliau tidak bersetuju apabila Gobind mencadangkan hashtag menjadikannya pro-BN, dengan mengatakan beliau hanya menyokong Perdana Menteri Najib Razak.

Mohsin juga menafikan keterangannya di mahkamah diatur untuk memerangkap Lim, tetapi mengakui sering mengambil bahagian dalam bantahan terhadap kerajaan Pulau Pinang dan ketua menteri.

Hari ini adalah hari pertama perbicaraan rasuah Lim di depan Hakim Hadhariah Syed Ismail berhubung pembelian banglonya.

Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Khoon, didakwa pada 2016 atas tuduhan hartanah itu dijual kepada Lim pada harga diskaun sebagai satu bentuk rasuah. – 26 Mac, 2018.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen