Sanusi seru kempen secara sihat, elak adu domba pada PRN


Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional Muhammad Sanusi Md Nor berkata setiap kritikan dan pertikaian yang dibawa dalam kempen perlu dipaparkan dengan fakta berasas dan benar bagi mengelakkan fitnah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Julai 2023.

MENTERI Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengharapkan pelaksanaan kempen parti pada pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri termasuk di Kedah dilakukan secara sihat berasaskan fakta benar.

Sanusi yang juga ketua pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) berkata setiap kritikan dan pertikaian yang dibawa dalam kempen perlu dipaparkan dengan fakta berasas dan benar, sekali gus dapat mengelakkan daripada fitnah serta adu domba negatif.

“...saya harap dalam kempen pilihan raya negeri ini kempen dijalankan secara sihat, memaparkan fakta benar dan kritikan benar…kalau kita mulakan kempen fitnah atau propaganda adu domba, suasana itu tidak mendatangkan suasana politik sihat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Sementara itu, Sanusi berkata tarikh pengundian pada 12 Ogos depan bersesuaian dan memberikan ruang untuk jentera parti PN membuat persediaan menghadapi pilihan raya negeri itu.

Beliau menyifatkan tarikh pengundian itu memberikan tempoh mencukupi kepada parti melaksanakan kempen selepas penamaan calon pada 29 Julai nanti.

“Tarikh 12 Ogos ini juga memberikan ruang dan peluang kepada jemaah haji Malaysia yang baru pulang menunaikan ibadah haji itu, mengundi pada PRN nanti,” katanya.

Sanusi berkata Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Norizan Khazali akan menyerahkan writ pilihan raya kepada semua pegawai pilihan raya di pusat pengundian di semua daerah mengundi esok yang dijangkakan pada 2.30 petang.

Berdasarkan statistik daftar pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat seramai 1,585,085 daftar pemilih bagi PRN Kedah dengan merekodkan sejumlah 104,284 pengundi berumur 18 hingga 20 tahun.

Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi dengan kedudukan terkini DUN Kedah menyaksikan PN memiliki 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6); Pakatan Harapan menguasai 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2); Barisan Nasional memperoleh dua kerusi (Umno-2) dan Pejuang (2).

Dua lagi kerusi kosong apabila Adun Gurun daripada PKR Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lepas dan dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, manakala Adun Belantek Mohd Isa Shafie pula meninggal dunia 14 Jun lalu. – Bernama, 5 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen