Nama pegawai JPN akan dihantar kepada SPRM untuk siasatan, kata Saifuddin


Ravin Palanisamy

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menerima laporan berhubung pegawai JPN yang didakwa melakukan rasuah dan akan memanjangkan identiti pegawai itu kepada SPRM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Julai, 2023.

KEMENTERIAN Dalam Negeri akan menyerahkan nama pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa melakukan rasuah dan salah guna kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lewat hari ini.

Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menerima laporan berhubung pegawai itu dan akan memanjangkan identiti pegawai terlibat kepada SPRM.

“Saya sudah berkomunikasi dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki awal hari ini bagi memaklumkan mengenai kes itu.

“Saya akan mengemukakan nama pegawai itu lewat hari ini supaya dapat membantu SPRM dalam siasatannya,” kata Saifuddin dalam sidang media hari ini.

Saifuddin berkata hanya satu nama yang didedahkan kepadanya setakat ini.

Semalam Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata beberapa anggota Jabatan Imigresen dan JPN sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam rasuah serta salah guna kuasa.

Perdana menteri berkata beliau juga menerima maklumat berkenaan bayaran dikenakan kepada pemohon yang layak untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan. 

Saifuddin tidak mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai pegawai itu tetapi mendakwa jumlah “besar” yang ketara terlibat dalam kes tersebut.

Saifuddin turut menegaskan tiada sebarang caj dikenakan untuk kelulusan apabila berurusan dengan JPN terutama ke atas kewarganegaraan dan sijil kelahiran.

“Ada jawatankuasa yang akan menentukan merit dokumen yang dikemukakan untuk permohonan kewarganegaraan diluluskan.

“Jawatankuasa itu akan mengesyorkan sama ada permohonan itu akan diluluskan atau tidak. Jadi jika ada pegawai yang menelefon untuk memaklumkan keputusan dan meminta dana, abaikan.

“Itu bukan amalan di sini. Dan yang pasti itu bukan amalan di bawah kerajaan Madani yang mahu menghapuskan rasuah,” tambah menteri dalam negeri.

Semalam Ketua Pengarah JPN Zamri Misman berkata jabatan itu tidak akan berkompromi dengan sebarang amalan rasuah atau salah guna kuasa dan sebaliknya akan terus komited untuk memerangi rasuah dengan melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan integriti di kalangan kakitangannya.

Zamri menggesa orang ramai supaya tidak bergantung kepada sebarang perkhidmatan yang disediakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengenakan bayaran untuk menjalankan perniagaan dengan jabatan itu.

Beliau juga berkata JPN tidak melantik mana-mana ejen atau orang tengah di pejabat JPN di seluruh negara. – 5 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen