Hubungan Dr Mahathir, DAP tidak akan bertahan, kata MCA


Bede Hong Ooi Choong Han

MCA yakin kerjasama Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang tidak akan bertahan lama sekali pun mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mac, 2018.

DR Mahathir Mohamad dan DAP akhirnya akan bertarung satu sama lain walaupun mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pemimpin tertinggi MCA memberi amaran kepada masyarakat Cina hari ini.

Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun percaya partinya tetap menjadi pertaruhan terbaik komuniti itu walaupun kehilangan lebih banyak kerusi DAP dan sekutunya PKR, dalam dua PRU lalu.

Bekas senator dan timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata empat parti dalam Pakatan Harapan (PH) sudah matang untuk berdepan perjuangan masa depan.

PH terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu. Ia menjadikan Dr Mahathir sebagai calon perdana menterinya, bekas presiden Umno yang meninggalkan parti Melayu itu selepas perbalahan dengan Perdana Menteri Najib Razak.

“Potensi perebutan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar, dan antara Dr Mahathir dan Lim Kit Siang, saya tidak fikir (PH) boleh mengabaikannya, jika mereka menang Putrajaya,” kata bekas ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

“Inilah sebabnya saya katakan, apabila anda mengundi PH, anda mengundi untuk masa depan yang tidak pasti,” katanya.

Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dinamakan sebagai perdana menteri PH.

Dr Mahathir berkata beliau akan menjadi perdana menteri sementara dan PH akan meminta pengampunan diraja untuk Anwar supaya beliau boleh dilantik sebagai perdana menteri.

Anwar dijangka dibebaskan pada Jun selepas menjalani dua pertiga daripada hukuman kerana kesalahan liwat.

Chew merasakan fokus Dr Mahathir terhadap Najib memberitahu dan memberi amaran kepada pengundi agar tidak mempercayai semua janji bekas perdana menteri itu.

“Daripada hari pertama hingga hari ini, anda hanya lihat mereka mahu menjatuhkan Najib. Bolehkah anda mengesahkan beliau (Dr Mahathir) tidak akan kembali (kepada Umno) selepas mereka membuang Najib?

Beliau percaya Dr Mahathir hanya mempunyai satu tujuan dalam fikirannya.

“Ini adalah perjuangan Dr Mahathir demi anaknya (Mukhriz) untuk menjadi perdana menteri. Ia bermula di dalam Umno dan berkembang dari sana.

DAP tidak tetap pendirian

Chew, calon utama untuk bertanding di kerusi Parlimen Raub, Pahang, yang mana MCA kalah kepada DAP pada PRU13.”

Kali ini, beliau yakin pengundi Cina tidak akan termakan janji dibuat pemimpin PH, terutama daripada DAP. Daripada isu hudud (Kanun Keseksaan Islam) kepada “Mahathirism”, DAP mempunyai rekod berpaling daripada pendirian asalnya, kata Chew.

“Pengundi Cina melihat dengan jelas apa yang DAP lakukan sama sekali berbeza dengan apa yang mereka janjikan.

“Sebelum 2013, mereka memberitahu semua orang yang mereka tidak akan menyokong parti berasaskan kaum, mengatakan mereka berbilang kaum, tetapi kini mereka bekerja dengan parti berasaskan kaum (Bersatu).

“Mereka mengutuk Dr Mahathir bagi semua kesalahannya, tetapi sekarang Dr Mahathir adalah orang yang akan membantu mereka. Ia seolah-olah seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir pada masa lalu, tidak berlaku.

“Mereka berkata tidak kepada hudud, tetapi mereka bekerja dengan PAS dan memberitahu mahu Dr Mahathir ditangkap, tetapi sekarang mereka bekerja dengannya.

“Inilah sebabnya apabila anda menyokong DAP atau PH, anda tidak tahu apa hasinya,” katanya. – 26 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen