Tiada kerjasama Muda-Pakatan, kata pengarah pilihan raya


Ravin Palanisamy

PARTI berasaskan belia Muda menolak sebarang kemungkinan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) kelak.

Pengarah Pilihan Raya Muda Luqman Long berkata parti itu tegas untuk bertanding di bawah logonya sendiri dalam PRN, walaupun terdapat cubaan PH untuk meyakinkannya agar memikirkan semula keputusan itu.

“Setakat ini, saya amat mengalu-alukan penglibatan dengan PH mengenai pembaharuan, dasar dan isu yang perlu ditangani semasa ia berada dalam kerajaan,” kata Luqman kepada The Malaysian Insight.

“Tetapi bukan mengenai perbincangan kerusi atau strategi politik untuk PRN atau pakatan pilihan raya. Itu tidak termasuk.

“Kami akan bergerak sendiri, tanpa mengira sebarang percubaan oleh PH pada masa hadapan.”

PH membisu mengenai permohonan Muda untuk menyertai gabungan itu sejak parti itu mengemukakannya pada November lalu.

Minggu lalu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan parti itu akan bertanding pada PRN menggunakan logonya sendiri.

Luqman berkata pendirian Muda akan tetap sama walaupun Perikatan Nasional (PN) cuba mengajak untuk menjadi sebahagian daripada gabungan itu atau membentuk pakatan pilihan raya.

“Saya tidak fikir kami berkongsi nilai dan sifat yang sama dengan PN,” katanya.

“Ia semua mengenai politik perkauman. Di Muda, kami meraikan kepelbagaian kaum dan kepelbagaian. Saya tidak fikir dalam masa terdekat ini kami akan mengadakan hubungan, terutamanya dalam pakatan pilihan raya (dengan PN).”

Luqman yang juga ketua penerangan Muda bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia dalam pilihan raya, tetapi menambah tiada perbincangan dilakukan setakat ini.

“Tiada perbincangan untuk memformalkan mana-mana pakatan pilihan raya politik, tetapi kami terbuka untuk sebarang penglibatan,” katanya.

“Sebelum ini, kita pernah terlibat dengan PH. Saya rasa kita tidak perlu menutup pintu untuk terlibat dengan parti politik lain juga.

“Kami belum mengadakan pertemuan rasmi dengan PSM lagi. Saya terbuka dengan idea itu. Ini kerana kami mahu berkongsi nilai kami dengan rakyat di luar sana.”

Senario pasca pilihan raya

Luqman tidak mahu membuat spekulasi mengenai perancangan selepas pilihan raya jika Muda memenangi kerusi.

“Biarlah perancangan pasca pilihan raya dibincangkan selepas PRN,” katanya.

“Saya akan terus memastikan Muda teguh dengan nilainya. Fokus pada apa yang boleh kita tawarkan kepada rakyat. Fokus untuk menjadi satu-satunya parti politik di luar sana yang tidak menganggap pelantikan sebagai ganjaran politik.

“Fokus untuk memberi lebih perhatian kepada pembangunan negeri, isu perubahan iklim, masa depan kanak-kanak, isu pendidikan dan sosio-ekonomi.”

Luqman berkata walau apa pun pendiriannya, Muda tetap berpegang pada nilainya.

“Saya percaya akan ada 1,001 senario selepas pilihan raya, tetapi saya menjangka dalam apa jua situasi dan keadaan, kita boleh melakarkan hala tuju kita sendiri,” katanya.

“Saya tidak fikir kami akan membentuk kerajaan dengan meninggalkan nilai kami. Saya tidak fikir menjadi nilai kami untuk untuk membentuk kerajaan dan melupakan janji kami.”

Luqman berkata sebagai pengarah pilihan raya, beliau percaya Muda harus berdiri di atas lambangnya sendiri bagi menyediakan alternatif lebih baik untuk rakyat. – 5 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen