MAHKAMAH Tinggi Kuantan hari ini menolak permohonan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd untuk membatalkan prosiding semakan kehakiman yang dikemukakan dua kumpulan pekebun durian Musang King.
Hakim Zainal Azman Ab Aziz turut memerintahkan syarikat itu membayar kedua-dua kumpulan pekebun terbabit masing-masing RM10,000, kata Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui.
Chow yang juga penasihat Save Musang King Alliance (Samka) dalam satu kenyataan berkata keputusan hari ini disifatkan kemenangan penting buat pekebun.
Royal Pahang Durian Resources PKPP merupakan responden keenam yang dinamakan dalam cabaran undang-undang tersebut.
Keputusanitu juga bermakna Mahkamah Tinggi Kuantan akan mendengar semakan kehakiman yang dipohon 204 pekebun durian Musang King dari Raub, Pahang terhadap keputusan kerajaan negeri untuk mengusir mereka.
Susulan keputusan hari ini juga, perintah Mahkamah Rayuan pada 5 Januari 2021 yang membenarkan permohonan 204 pekebun terbabit untuk menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan akan terus berkuat kuasa, kata Chow.
“Dalam erti kata lain, sebelum kes selesai, agensi penguatkuasaan undang-undang dilarang mengambil tindakan terhadap pihak yang berperkara, membenarkan pekebun meneruskan aktiviti penanaman di kebun durian.”
Chow merujuk kepada notis yang dikeluarkan pada 21 Disember 2020 itu mengarahkan pekebun berkenaan mengosongkan tanah selewat-lewatnya pada 4 Januari 2021.
Semakan kehakiman difailkan terhadap arahan kerajaan negeri supaya mereka mengosongkan kebun di pelbagai kawasan seluas 2,167 hektar di Raub, termasuk di Sungai Ruan, Sungai Chalit dan Sungai Klau. – 4 Julai 2023.
Komen