India bantah perhimpunan Sikh di Kanada


Kementerian Hal Ehwal Luar India telah memanggil pesuruhjaya tinggi Kanada di New Delhi untuk menyampaikan rasa tidak senang mengenai poster yang mempromosi perhimpunan Sikh pada Sabtu ini. – Gambar AFP, 4 Julai 2023.

INDIA mengemukakan bantahan rasmi kepada Kanada selepas poster yang mempromosi perhimpunan Sikh menunjukkan gambar diplomat India.

Kementerian Hal Ehwal Luar India pada Isnin telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi Kanada di New Delhi Cameron MacKay untuk menyampaikan rasa tidak senang India mengenai perkara itu, menurut laporan media India pada Selasa.

Laporan itu menyebut bahawa India tidak berpuas hati terhadap demonstrasi yang dirancang di luar misi diplomatik India di Ottawa, Toronto dan Vancouver pada Sabtu ini.

Demonstrasi itu dirancang sebagai membantah terhadap pembunuhan sensasi ketua masyarakat Sikh Hardeep Singh Nijjar, ketua gurdwara di bandar Surrey di Kanada, pada 18 Jun.

Laporan media India, merujuk Nijjar sebagai “pengganas Khalistani” yang dikehendaki di India.

Poster perhimpunan Sikh itu memuatkan sentimen anti-India serta gambar dan nama dua diplomat terkemuka India di Kanada.

Menteri Luar Negeri Kanada Melanie Joly menyifatkan perbuatan itu tidak boleh diterima.

“Kanada mengambil tanggungjawabnya serius mengikut Konvensyen Vienna mengenai keselamatan diplomat. Kanada kekal berhubung rapat dengan pegawai India memandangkan beberapa bahan promosi yang diedarkan dalam talian mengenai protes yang dirancang pada 8 Julai, yang tidak boleh diterima.

“Kami tahu bahawa tindakan segelintir orang tidak melambangkan kehendak seluruh komuniti atau Kanada sendiri,” katanya dalam satu kenyataan. – Bernama, 4 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen