Data tunjuk sokongan kepada Perikatan makin reda, kata Rafizi


Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata data awal kajian sehingga Jun lalu menunjukkan sokongan kepada Perikatan Nasional semakin reda, dan persaingan sengit akan berlaku di Kedah dan Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai 2023.

PKR menangkis dakwaan kononnya terdapat gelombang peralihan undi dan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) bagi enam negeri dijangka bulan depan.

Timbalan presidennya Rafizi Ramli berkata data awal kajian sehingga Jun lalu menunjukkan sokongan kepada PN semakin reda dan mendapati persaingan sengit akan berlaku di Kedah dan Kelantan.

Rafizi, yang juga  menteri ekonomi, berkata data tersebut meunjukkan bahawa pada PRN ini, pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berada dalam keadaan selesa.

“Data kajian tersebut akan didedahkan dalam masa terdekat menjelang PRN,” katanya kepada bemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Menteri Ekonomi Bersama Warga Kementerian Ekonomi di Putrajaya, hari ini.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pada 26 Jun lalu mendakwa gelombang PN yang berlaku pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) akan berterusan pada PRN di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak berkata SPR telah menerima notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan daripada speaker DUN masing-masing.

SPR memaklumkan akan mengadakan mesyuarat khas esok untuk membincangkan tarikh-tarikh penting PRN di enam negeri berkenaan. – Bernama, 4 Julai 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen