Sudah-sudahlah serang bukan Melayu, Syed Saddiq beritahu Dr Mahathir


Ravin Palanisamy

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata emimpin politik sepatutnya menyatukan rakyat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai 2023.

PRESIDEN Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini menggesa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menghentikan serangan terhadap bukan Melayu dan bukan bumiputera.

Pemimpin politik sepatutnya menyatukan rakyat negara ini, bukannya mengeluarkan kenyataan yang memecahbelahkan, katanya pada sidang media hari ini.

“Kita harus fokus untuk menyatukan rakyat Malaysia, bukan memecahbelahkan rakyat mengikut warna kulit, bangsa atau agama.

“Dan daripada mengimbau perbezaan sejarah masa lalu,kita harus menanti-nantikan apa yang menyatukan kita sebagai satu rakyat, satu negara.

“Kami percaya, serangan terhadap bukan Melayu dan bukan bumiputera bermakna serangan terhadap semua rakyat Malaysia

“Begitulah juga, menyerang orang Melayu adalah serangan terhadap semua rakyat Malaysia kerana hidup, nasib dan masa depan kita saling berkait antara satu sama lain,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu mengulas kenyataan Dr Mahatir semalam, yang berkata usaha mempromosi negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Malaysia tidak pernah menyatakan Malaysia adalah negara berbilang kaum, kata bekas perdana menteri dua kali itu.

“Saya hanya menyuarakan peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia. Apakah mempertahankan Perlembagaan Malaysia menyalahi undang-undang?

“Sebaliknya bertentangan perlembagaan ialah mempromosi negara berbilang bangsa.

“Apakah Kerajaan sekarang menolak ‘the Rule of Law’, termasuk perlembagaan Malaysia yang tidak pernah sebut Malaysia sebagai negara berbilang kaum. Sebaliknya perlembagaan menekankan Ke-Melayuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata pemimpin muda Melayu dalam parti yang diasaskannya akan membuktikan Dr Mahathir silap dalam isu negara berbilang bangsa.

“Sebagai presiden Muda, saya ingin sampaikan mesej yang jelas bahawa kami generasi baharu pemimpin Melayu dalam Muda akan membuktikan Dr Mahathir silap kerana kami percaya kepelbagaian kaum tidak akan melemahkan kita, tetapi hanya akan meneguhkan kita sebagai sebuah negara,” katanya. – 4 Julai 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen