Ke mana Muda dalam PRN?


Ruhan Shahrir

Tidak seperti pemimpin parti lain yang rata-ratanya sudah berumur, kepimpinan Muda masih muda. Waktu menyebelahi mereka. – Gambar Facebook, 4 Julai, 2023.

MUDA adalah suatu kebetulan. Wujudnya tidak difikirkan secara mendalam. Lahir dengan latar belakang “Langkah Sheraton”, ia ditubuhkan terburu-buru. Mungkin itu sifatnya orang muda. Membujur lalu melintang patah.

Tanpa memahami lebih halus struktur politik, ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia yang rumit, Muda pun terbit. Seperti terbitnya embun di pagi hari, berkilau di hujung rumput. Apabila matahari tiba, apakah perlahan-lahan Muda akan luput?

Namun Muda tentunya bukanlah embun yang sementara. Ia sebuah parti pimpinan orang muda yang pastinya bertekad untuk terus bernafas dan berkuasa pada suatu hari nanti.

Tekad dan realiti adalah dua perkara berbeza. Kenyataannya jalan untuk meraih kuasa bukanlah mudah. Dipenuhi onak dan duri, cercaan dan kutukan, persimpangan dan pengkhianatan, yang akan menguji tekad dan tekal Muda.

Muda belum cukup teruji

Hakikatnya Muda belum cukup teruji. Ujian kekuatan bagi mana-mana parti politik dalam sistem demokrasi liberal seperti Malaysia adalah di medan pilihan raya.

Muda melalui satu PRN (DUN Johor) dan satu PRU (Parlimen) pada tahun lepas. Dari enam kerusi DUN Johor yang ditandingi, Muda hanya menang satu di Puteri Wangsa. Kerusi mudah. Tidak cukup menguji ketekalan dan kecekalan Muda.

Pada PRU15 yang lepas pula enam kerusi parlimen menjadi taruhan Muda. Sekali lagi hanya satu kerusi yang dimenanginya. Itu pun kerusi penyandang di Muar. Kerusi lain Muda tewas.

Bukan hanya tewas tetapi pengundi daripada golongan muda juga kelihatannya cenderung memberikan undi mereka kepada PN berbanding Muda sendiri.

Di kedua-dua pilihan raya tersebut, Muda bersama PH. Justeru, tidak bersalahan untuk saya katakan bahawa sebahagian daripada undi yang mereka terima adalah juga undi daripada penyokong PH.

Itu pun masih juga Muda tewas lima kerusi parlimen. Namun tiada seorang pun calon Muda yang kehilangan deposit. Sesuatu yang boleh dibanggakan buat sebuah parti baru.

Tetapi persoalannya apakah Muda mampu meraih undi yang telah mereka terima itu jika sekiranya mereka bertanding sendirian? Hemat saya, tidak.

Ia dapat dilihat daripada keputusan PRN Johor di DUN Larkin. Walaupun Muda tidak hilang deposit tetapi undi yang mereka perolehi lebih rendah daripada calon PH (PKR).

Malahan kemungkinan besar undi yang sepatutnya diperolehi oleh PH telah direbut oleh Muda akibat pertembungan tersebut. Suatu senario pecah undi yang sangat merugikan baik buat PH mahu pun Muda sendiri.

Apa pilihan Muda

Bagaimana pula pada PRN di enam negeri yang akan berlangsung tak lama lagi? Apakah Muda akan bertanding atau tidak? Jika bertanding, apakah bersama PH sahaja atau PH-BN atau pun sendirian?

Jika sendirian apakah Muda akan meletakkan calonnya bersaing dengan calon PH atau calon BN? Memilih untuk bertanding sendirian tentu akan mempertembungkan Muda dengan PH atau BN, “rakannya” sendiri dalam “kerajaan perpaduan”.

Ini pastinya akan merumitkan hubungan Muda dengan parti-parti yang membentuk “kerajaan perpaduan”. Serangan dan tuduhan terhadap Muda sebagai “agen Atok”, “pensabotaj” dan “pemecah undi” nescaya tidak terelakkan.

Namun, tidak bertanding tentunya bukan pilihan Muda. Tidak bertanding bermakna Muda terlepas peluang untuk menguji dirinya sendiri. Tidak bertanding bererti Muda terlepas kesempatan untuk menampilkan dirinya kepada khalayak pengundi yang tidak semuanya tahu tentang kewujudan Muda.

Tidak bertanding bermaksud Muda terlepas ruang untuk menyampaikan dasar, prinsip dan agenda perjuangan mereka kepada khalayak ramai.

PRN referendum buat Muda

Justeru Muda sebenarnya tiada pilihan. Muda perlu bertanding pada PRN akan datang. Demi kelangsungan dirinya. Demi menonjolkan dirinya kepada khalayak awam. Demi menguji kekuatannya. Demi menilai kelemahannya sebagai persediaan dan penalaan yang lebih rinci buat menghadapi PRU16 kurang lebih empat tahun lagi.

PRN boleh dijadikan ujian dan ukuran sejauh mana Muda mampu meraih sokongan pengundi, tua dan muda, lelaki dan perempuan, bandar dan luar bandar. Tidak kira sama ada bertanding sebagai sebahagian daripada “kerajaan perpaduan” atau secara sendirian, PRN15 boleh dikatakan semacam suatu bentuk referendum buat Muda.

Referendum daripada pengundi. Juga referendum daripada PH. Justeru, soalan untuk referendum tersebut hanya satu: apakah Muda relevan buat pengundi dan PH? Jawapannya hanya boleh diketahui tatkala Muda meletakkan dirinya dalam kancah persaingan PRN untuk dinilai.

Manakala keputusan yang bakal diraih oleh calon Muda pada PRN nanti akan menentukan pula seberkesan mana pengaruh Muda di kalangan pengundi dan sejauh mana pula PH akan meneruskan kerjasama dengan Muda khususnya untuk PRU16 yang akan datang.

Sebahagiannya akan bergantung kepada undi yang bakal diterima oleh Muda pada PRN nanti.

Bersama PH atau sendirian

Undi yang bakal diterima oleh Muda pula bergantung kepada pilihan yang akan mereka lakukan - bersama PH atau sendirian. Keduanya punya risiko. Tetapi persoalannya, risiko mana yang paling strategik buat masa depan Muda?

Dalam bingkai besar demi kestabilan politik buat kerajaan perpaduan, bersama PH lebih selamat. Lebih tidak mengeruhkan hubungan dengan “kerajaan perpaduan”. Lebih membantu dalam menstabilkan “kerajaan perpaduan”. Lebih banyak ruang untuk aktiviti berkempen secara bersama.

Lebih banyak pentas ceramah yang boleh dikongsi bersama. Lebih ramai jentera yang boleh membantu. Lebih banyak peluang untuk membina kepercayaan bersama.

Namun, kemungkinan sabotaj juga ada. Sosok yang mengidam menjadi calon DUN di kerusi PH tetapi dinafikan kerana memberi laluan kepada Muda, mungkin sahaja akan memboikot kempen Muda dan mengarahkan jenteranya untuk tidak membantu.

Malah pilihan kawasan yang ditawarkan oleh PH juga mungkin kawasan sukar yang tidak sesuai dengan profil Muda.

Namun secara keseluruhannya, bertanding di bawah payung PH lebih mudah. Lebih membuka ruang yang lebih luas untuk Muda menonjolkan dirinya dan menyampaikan dasar serta agenda perjuangannya ke khalayak awam yang lebih besar. 

Dan yang lebih penting hubungan dengan “kerajaan perpaduan” dapat dikurangkan keruhnya. Manakala undi pula tidak pecah. Justeru, peluang PN untuk menambah kerusi akibat daripada undi pecah dapat dielakkan.

Ia tentunya akan membantu menstabilkan kerajaan perpaduan sehingga habis penggal. Ini merupakan bingkai besar yang Muda perlu pertimbangkan.

Namun bingkai besar ini tentu juga punya risikonya yang tersendiri. Risikonya adalah kehilangan kemandirian. Bersama PH-BN memerlukan Muda melunakkan retorik kempennya bersesuaian dengan rakan kongsinya.

Tentu sahaja isu yang boleh merumitkan hubungan dengan rakan kongsinya itu perlu diketepikan. Natijahnya adalah persepsi pengundi terhadap wibawa Muda.

Apakah wibawa lebih penting daripada kestabilan “kerajaan perpaduan”, hanya Muda yang bisa menjawabnya.

Bersendirian bermakna lebih mandiri. Pilihan kawasan untuk Muda tandingi juga boleh dipilih sendiri. Persepsi pengundi bahawa Muda berkompromi dengan parti yang dianggap terlibat dengan korupsi dapat diketepi.

Retorik kempen tanpa perlu menjaga hati rakan kongsi dapat diketengah di pentas ceramah. Pembezaan antara Muda dengan PH-BN dan PN akan dapat diserlahkan dengan lebih jelas buat pengundi membuat pilihan. 

Tetapi bersendirian juga bermakna semuanya harus dibuat sendiri. Dari kempen, ceramah, sistem bunyi, penyediaan pentas, kunjungan rumah ke rumah, mobilisasi khalayak, mempersiapkan jentera, hubungan dengan ketua-ketua masyarakat di kawasan yang ditandingi dan bermacam-macam lagi – semuanya harus dilakukan sendiri.

Malahan modal yang merupakan unsur penting untuk membiayai perjalanan sebuah kempen pilihan raya di kawasan yang ditandingi juga perlu dicari sendiri.

Apakah Muda mampu melakukan semua ini secara sendirian? Mugkin Muda perlu mengukur baju di badan sendiri.

PRN sebagai medan ujian

Perjalanan getir yang dilalui dalam menguruskan kempen pilihan raya inilah yang akan menjadikan Muda lebih teruji. Ia akan menjadi medan ujian untuk melasakkan peribadi dan komitmen pemimpin Muda khususnya serta anggota Muda umumnya terhadap apa yang mereka perjuangkan.

Dari ujian yang dilalui itulah boleh disaring pemimpin dan anggota yang mana benar-benar permata, yang mana hanya kaca untuk mendepani PRU16 yang akan datang. Malahan PRU16 mungkin masih bukan waktunya untuk Muda bersinar. Lanskap politik Malaysia yang kecil terlalu sesak dengan pemainnya yang ramai.

Masing-masing bersaing di kawasan yang hampir sama. Dalam keadaan yang begitu, parti yang sudah mapan, lama menyusun di akar umbi dan memiliki sumber manusia serta kewangan yang lebih kukuh, cenderung punya kelebihan berbanding Muda.

Justeru, pada hemat saya Muda bukan parti untuk waktu sekarang. Muda adalah parti masa depan. Waktu sekarang adalah masa Muda melakukan persediaan untuk masa depan yang akan tiba.

Namun, cekal dan tekalkah Muda seperti mana cekal dan tekalnya PAS berjuang bermodalkan sumbangan “tin milo”, diasak dan diserang selama lebih daripada 70 tahun? Cekal dan tekalkah Muda seperti mana cekal dan tekalnya PKR yang hampir luput apabila hanya tinggal satu kerusi parlimen sahaja pada PRU 2004? Hanya kepimpinan dan anggota Muda yang bisa menentukan.

Tidak seperti pemimpin parti lain yang rata-ratanya sudah berumur, kepimpinan Muda masih muda. Waktu menyebelahi mereka.

Apakah Muda akan memilih untuk bersikap membujur lalu melintang patah atau berpendirian sehari selembar benang lama-lama menjadi kain? Orang muda cenderung terburu-buru. – 4 Julai, 2023.

* Ruhan adalah seorang hippie yang berjiwa bebas, menggemari filem-filem berat Eropah dan menyukai ikan pekasam goreng garing.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen