TARIKH tutup permohonan undi pos akan diketahui esok selepas mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Permohonan undi pos untuk semua kategori, termasuk Kategori 1A (pegawai SPR, staf pilihan raya dan media); Kategori 1B (rakyat Malaysia di luar negara); dan Kategori 1C (agensi atau organisasi) dibuka secara atas talian pada 15 Jun.
Mereka yang mahu mendaftar boleh ke https://myspr.gov.my.
SPR semalam mengumumkan ia akan mengadakan mesyuarat khas pada Rabu untuk membincangkan tarikh penting pilihan raya di enam negeri.
Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata mesyuarat itu susulan notis pembubaran rasmi kerajaan negeri Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Katanya, mesyurat khas itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh penting untuk PRN, termasuk tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari mengundi, daftar pengundi yang akan digunakan serta persiapan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sidang akhbar akan diadakan selepas mesyuarat itu.
Enam negeri akan mengadakan PRN. Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ditadbir kerajaan Pakatan Harapan sementara Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.
Tarikh mengundi belum ditetapkan. Semua enam negeri perlu mengadakan pilihan raya sebelum September. – 4 Julai, 2023.
Komen