Muda, PSM tidak akan bertahan di PRN, kata pemerhati


Alfian Z.M. Tahir

Minggu lalu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda akan bertanding di semua enam PRN secara solo, menggunakan lambangnya sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2023.

PARTI berasaskan belia, Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) hampir pasti tidak akan memberikan sebarang kesan pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana pengaruh mereka terhadap pengundi terlalu sedikit, kata pemerhati politik.

Mereka juga menjangkakan calon Muda dan PSM akan hilang deposit jika bertanding melawan calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Penganalisis politik berkata Muda dan PSM tidak akan dapat memecahkan undi kerana pengaruh mereka terhadap pengundi terlalu minimum.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali berkata pengundi di Selangor tidak melihat Muda atau PSM sebagai parti yang boleh dipercayai.

Berdasarkan kajiannya, Mazlan berkata pengundi di Selangor akan memilih calon sama ada daripada PH atau PN.

“Dalam kaji selidik yang kami jalankan baru-baru ini, kebanyakan individu yang ditemu bual berkata akan memilih PH atau PN. Sedikit sangat yang memilih Muda.

“Bagi PRN ini, saya tidak nampak bagaimana Muda atau PSM akan memberikan sebarang impak. Mereka mungkin boleh hilang wang deposit.

“Pengundi tidak nampak apa yang mereka perjuangkan,” kata Mazlan.

Minggu lalu, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Muda akan bertanding di semua enam PRN menggunakan lambangnya sendiri, menggunakan kekuatannya untuk membawa naratif politik baharu ke negara ini.

Timbalan Pengerusi PSM yang juga Pengarah Pilihan Raya S. Arutchelvan berkata parti itu bercadang bertanding di sesetengah kerusi pada PRN, menambah parti itu bersedia mengadakan perbincangan dengan Muda untuk kemungkinan bekerjasama.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Mohd Atory Hussein berkata PSM dan Muda tidak boleh dianggap sebagai kuasa ketiga kerana mereka tidak ada kemampuan untuk mencetuskan suasana seperti itu.

“Mereka akan dibelasah, satu kerusi pun tidak menang. Realitinya ialah, hanya PH dan PN. Tidak ada kuasa ketiga,” katanya.

“Syed Saddiq patut dengar apa yang Dr Mahathir Mohamad kata – masuk gabungan, jika PH tidak mahu, pergi ke PN.

“Jadi solo tidak akan membawa anda ke mana-mana, kata bekas perdana menteri itu,” kata Atory.

Atory berkata adalah lebih baik untuk Muda kekal bersabar.

“Orang muda perlu belajar bersabar. Anda tidak boleh terus melompat dan hendak berada di atas. Ambil langkah satu persatu. Masa anda akan tiba,” katanya. – 4 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen