Calon BN rayu keputusan kekalkan Hadi sebagai ahli Parlimen Marang


Pada PRU15 lepas, Abdul Hadi Awang memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan calon BN, PH dan Pejuang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Julai, 2023.

CALON Barisan Nasional Jasmira Othman mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang mengekalkan kemenangan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai ahli Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff, antara peguam yang mewakili Jasmira memberitahu Bernama, notis rayuan difailkan pada 28 Jun lepas.

Pada 27 Jun, Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu menolak petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Jasmira untuk mencabar kemenangan Hadi.

Hakim Hassan Abdul Ghani memutuskan Jasmira gagal membuktikan wujud unsur rasuah mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lepas, antara lain atas dakwaan PAS menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 November 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-pencen, i-Belia dan i-Siswa.

Pada PRU15 lepas, Hadi memenangi kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 41,729 undi menewaskan Jasmira, calon Pakatan Harapan (PH) Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang Dr Zarawi Sulong. – Bernama, 3 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen